Tuesday, September 16, 2014

HARI INI DALAM SEJARAH,SELAMAT HARI MALAYSIA...

ASSALAMUALAIKUM DAN SALAM SEJAHTERA
SALAM ASPIRASI MENJUNJUNG PERPADUAN MAHASISWA...

Tarikh keramat 16 September berulang kembali. Detik bersejarah pada tanggal 16 September 1963 masih segar dalam ingatan. Penggabungan antara Persekutuan Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura telah berjaya membentuk sebuah negara bangsa yang bernama Malaysia. Setelah 51 tahun Malaysia berdiri megah berdaulat sebagai sebuah negara yang bebas merdeka, ramai antara rakyat negara ini tidak pernah mengetahui sejarah pembentukan Malaysia. Dalam usia negara Malaysia yang telah mencapai separuh abad ini, marilah kita sama - sama mengetahui serba sedikit sejarah penubuhan Malaysia.

Perjuangan penubuhan Malaysia pada asasnya bermula sejak negara kita mencapai kemerdekaan iaitu pada tanggal 31 Ogos 1957. Idea pembentukan Malaysia telah dikemukakan oleh Tunku Abdul Rahman kepada kerajaan British. Tunku telah meminta kepada kerajaan British untuk menggabungkan Brunei, Sabah, dan Sarawak dengan Persekutuan Tanah Melayu untuk membentuk Malaysia. Cadangan Tunku ini tidak dipersetujui oleh pihak British kerana Singapura disisihkan. Buat pertama kalinya, Sir Malcom Macdonal iaitu Pesuruhjaya Jeneral Inggeris di Asia yang ditugaskan untuk menyelaraskan dasar Inggeris ke atas Semenanjung Tanah Melayu, Singapura, Brunei, Sabah, dan Sarawak menyarankan supaya wilayah-wilayah tersebut mengeratkan hubungan dari segi politiknya. 

Idea pembentukan Malaysia tercetus pada tanggal 27 Mei 1961 melalui ucapan yang dibuat oleh Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu iaitu Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj. Ucapan tersebut berlangsung di Hotel Adelphi, Singapura semasa majlis makan tengahari di hadapan Persatuan Wartawan Luar Negeri di Asia Tenggara. Tunku melahirkan idea untuk mewujudkan satu bentuk penyatuan ekonomi dan politik yang melibatkan Persekutuan Tanah Melayu dengan wilayah-wilayah jajahan British iaitu Singapura, Brunei, Sabah, dan Sarawak. Idea ini dilahirkan atas kesedaran bahawa Tanah Melayu dan wilayah-wilayah terbabit sukar untuk berdiri sendiri serta berasingan. Cadangan ini membawa maksud perlunya kerjasama antara penduduk wilayah terbabit untuk mengadakan kerjasama dengan kerajaan British dalam menjayakan proses pembentukan gagasan politik baru di Asia Tenggara. Cadangan ini menimbulkan pelbagai reaksi daripada banyak pihak. Oleh sebab itu, pada tahun 1961, Jawatankuasa Perundingan Perpaduan Malaysia (JPPM) telah ditubuhkan bagi memberi ruang kepada pemimpin di Sabah dan Sarawak untuk mengemukakan pandangan memandangkan mereka masih menentang pembentukan gagasan Malaysia. Akhirnya, Sabah dan Sarawak bersetuju untuk menerima pembentukan gagasan tersebut dan mereka telah menyusun satu memorandum untuk dihantar kepada Suruhanjaya Cobbold. Suruhanjaya ini menjalankan satu tugas iaitu meninjau pendapat rakyat Sabah dan Sarawak, seterusnya membuat satu syor perlembagaan yang baru. Pada bulan Ogos 1962, Jawatankuasa Antara Kaum (JAK) telah ditubuhkan bagi merangka perlembagaan Malaysia. JAK mengeluarkan laporannya pada 27 Februari 1963. Laporan ini telah diterima oleh pihak British. Berdasarkan laporan ini, Perjanjian Malaysia telah ditandatangani di London bersama 4 anggota negeri yang terlibat pada 9 Julai 1963. Malaysia telah diisytiharkan secara rasminya pada tanggal 16 September 1963.

Menyedari akan hakikat sukarnya untuk membina sebuah negara yang bernama Malaysia, kita haruslah sedar bahawa kedaulatan yang ada pada hari ini mestilah dipertahankan. Beruntunglah kita kerana lahir setelah pembentukan Malaysia. Hakikatnya terdapat banyak tangan luar yang mencemburui penubuhan Malaysia. Masih ingatkah kita dengan 'janji 16 september' yang diluangkan oleh seorang individu. Realitinya janji ini pada hari ini hanya tinggal sebuah angan-angan yang palsu. Tujuannya hanyalah untuk memecahbelahkan keharmonian dan kedaulatan rakyat Malaysia. Ayuh rakyat Malaysia sekalian, jangan sesekali mudah terpengaruh dengan dakyah dan propaganda jahat sesetengah pihak untuk melihat kehancuran kemakmuran dalam negara kita. Marilah kita bersama-sama memacu Malaysia ke arah kecemerlangan.

MALAYSIA,DI SINI LAHIRNYA SEBUAH CINTA
SELAMAT HARI MALAYSIA....

No comments:

Post a Comment