Thursday, September 25, 2014

FITNAH DAN MEHNAH : KAMI JAWAB

Kami dimaklumkan ada pihak tertentu telah menyerang kami sebelum    semboyan       perang dibunyikan. Sabarlah sahabat-sahabat mahasiswa kami. Kuliah baru bermula kan.. Tapi tak mengapa, kami akan jawab segala persepsi buruk yang cuba dilemparkan oleh kalian ke atas kami.

Muka depan sebuah kaji selidik yang telah diedarkan bertujuan
menyerang Aspirasi USM.


Baru-baru ini, pada sebelah malam, terdapat sekumpulan siswi telah bergerak dari bilik ke bilik kononnya hendak menjalankan soal selidik. Tanpa sebarang kebenaran daripada pihak yang bertanggungjawab, mereka menceroboh privasi para penghuni dengan soalan-soalan berbaur politik yang sangat jelas hanya untuk memfitnah dan memburukkan Aspirasi USM. Kami akan senaraikan dua tiga soalan tersebut berserta jawapan bagi membetulkan salah faham dan persepsi negatif (fitnah) yang cuba dicipta dan ditanamkan oleh mereka ke atas mahasiswa-mahasiswi pencinta keamanan di USM ini.

Soalan pertama yang diajukan berkaitan logo. Teruskan memfitnah kami.


LOGO PPSL IALAH LOGO ASPIRASI?

Sebenarnya dah banyak kali kami jelaskan tentang isu ini tetapi masih gagal difahami dengan baik oleh mereka. Sejujurnya kami tak anggap mereka sebagai seteru politik, sebaliknya hanya berbeza sedikit dalam satu dua perkara. Tapi janganlah sampai mendustakan kebenaran dan memfitnah kami.

Pertama, biar kami jelaskan. Aspirasi bukan ideologi politik, bukan pertubuhan atau persatuan dan bahkan, bukan gerakan haraki kemahasiswaan seperti kumpulan di sebelah sana yang semua tahu siapa mereka. Kami tahu bahawa wujud kekeliruan di sini kerana mereka sering melabelkan kami sebagai musuh gerakan mereka di kampus ini.

Aspirasi ialah nilai. Dalam definisi secara harfiahnya, ia berkaitan semangat, hasrat dan kecintaan serta kesungguhan untuk mencapai sesuatu yang diimpikan. Kami juga ada impian dan uniknya, kami berkongsi impian tersebut secara bersama. Kami impikan kampus yang aman. Kami impikan hubungan antara mahasiswa dan mahasiswa yang baik. Kami impikan hubungan antara mahasiswa dan pihak universiti yang harmoni. Hubungan yang baik ini pasti akan memudahkan dan menguntungkan semua pihak. Adakah salah mempunyai impian-impian ini?

Nilai aspirasi di USM ini adalah suatu konsep pemupukan dan pemajmukan nilai yang lain. Biar kami senaraikan untuk kefahaman semua. Nilai-nilai tersebut ialah :

Rasional
Toleransi
Realistik

Ketiga-tiga nilai ini menjadikan kami lebih beraspirasi untuk bersama Universiti mencipta lebih banyak kejayaan, kecemerlangan dan kegemilangan. USM ini sebuah universiti yang cukup terbilang dan kita sebagai mahasiswa, kami fikir, perlu mendokong wadah perjuangan universiti bersama nilai-nilai yang betul dan signifikan. Ia ada di sana ketika misi dan visi USM ini digarap dan kami mendokong misi dan visi ini dengan bangga. Aspirasi USM, ialah misi dan visi USM sendiri. Adakah anda rasa ia salah mendokong misi dan visi USM?

Lawan kepada nilai-nilai ini pula boleh dilihat seperti mana berikut :

Rasional lwn Emosional
Toleransi lwn Demonstrasi
Realistik lwn Idealistik

Insya-Allah, jika ada kesempatan, kami akan huraikan maksud setiap nilai ini dengan lebih terperinci. Doakan kesempatan itu ada supaya semua faham dan semoga mereka akan faham kali ini.

Yang ingin difokuskan di sini ialah berkenaan logo PPSL yang didakwa sama seperti logo Aspirasi USM. Inilah yang kami katakan mereka gagal memahami kebenaran dan menolak pula kebenaran itu.

Untuk makluman, tiada agenda tersirat atau tersembunyi di sini. Ya, tiada!

Sedikit sejarah terhasilnya logo PPSL. Dahulu, sebelum dikenali sebagai PPSL, nama asalnya ialah PPMS atau Pembimbing Pelajar Minggu Suaikenal. Logo ini dicipta oleh Saudara Mohd Shafiq bin Saidon, bekas Yang DiPertua MPD Fajar Harapan 2008/2009 (kalau tak silap kami). Tujuan beliau mencipta logo dengan simbol hati ini sebenarnya berkait rapat dengan nilai-nilai aspirasi Universiti Sains Malaysia sendiri.

Seperti yang kami katakan tadi, Aspirasi USM bukan gerakan yang berorganisasi lengkap dengan ketua atau presiden bagai. Ia hanya rumpunan pendokong semangat dan cita-cita USM sahaja. Sesiapa pun boleh mendokong semangat dan cita-cita ini seperti PPMS dahulu dan PPSL kini. Tiada paksaan. Saya Aspirasi, Anda Aspirasi, Kita Aspirasi. Ia untuk semua. Adakah ini juga salah?

Namun, kelihatan mereka masih tidak faham dan cuba melemparkan fitnah ke atas kami dengan mencipta persepsi kononnya Aspirasi USM ialah gerakan terancang yang ingin mendoktrin suatu ideologi politik. Kami faham maksud mereka ini. Untuk makluman sahabat-sahabat kita ini, soal ideologi politik dan kecenderungan menyokong mana-mana pihak, itu ialah hak individu. Faham?

Jadi tak perlulah jadi agen penyebar fitnah lagi ye. Kedua-dua logo memang sama dan mendokong maksud dan nilai yang sama. Ia bukan logo sebuah parti politik atau pertubuhan dalam kampus. Kami tak pernah sibuk soal logo kalian yang mirip dengan simbol dan warna sebuah pakatan politik luar kampus, jadi tak perlulah sibuk dengan logo kami ini, okey? 

No comments:

Post a Comment