Wednesday, September 24, 2014

NOTA 10 TAHUN LEGASI

SHAFIQ KAMARUDDIN PENYAMBUNG LEGASI 10


Ketika kami diperkenalkan dengan beliau, kami fikir, Saudara Mohammad Shafiq bin Kamaruddin hanyalah mahasiswa kebanyakan. Tiada sesuatu yang istimewa pada diri anak muda ini. Namun, persepsi itu ternyata silap. Dianjak waktu, sedikit demi sedikit kami mula melihat sisi lain pada diri beliau terutamanya bakat kepimpinan yang besar tatkala golongan mahasiswa seperti kita sering dilabel sebagai lesu dan pasif.

Untuk rekod, Shafiq mengemudi Majlis Perwakilan Pelajar USM selaku Yang DiPertua selepas memenangi Pemilihan MPP Sidang Akademik 2013/2014 dengan bergaya. Dengan jumlah undi terkumpul sebanyak 3663 di belakang seorang lagi rakan seperjuangan, Saudara Jemindar bin Abdul Kadir yang mengumpul undi terbesar iaitu sebanyak 3680 undi, Shafiq terus membentuk sebuah pasukan yang mantap bersama 44 orang ahli Majlis Perwakilan yang lain membabitkan ketiga-tiga buah kampus utama USM.

Kemenangan Shafiq dan rakan-rakan dalam pemilihan ini juga membawa makna yang besar kepada perjuangan Aspirasi USM secara keseluruhan. Selepas 9 tahun berturut-turut Aspirasi USM menjadi nadi dan tulang belakang motto Kami Memimpin, Shafiq menggenapkan angka tersebut kepada 10 tahun – dengan cemerlang dan gemilang. 

Sesuatu yang kami pasti ada pada diri beliau secara kualiti ialah sikap rasional, toleransi dan realistik dalam setiap tindakan atau keputusan yang diambil. Pun tentu, Shafiq secara individu, kekal dengan ketegasan dan hal ini diperakui sendiri oleh rakan-rakan MPP yang lain. Gabungan kualiti inilah yang menjadikan beliau seorang ketua yang dihormati pelbagai pihak baik di dalam mahupun di luar kampus. Ya, bukan mudah menjadi ketua jika tiada nilai-nilai tersebut tetapi ia bukan susah juga untuk dipraktikkan bermula dengan jiwa kepimpinan yang tulus dalam diri seseorang pemimpin atau ketua itu sendiri. Ternyata Shafiq memiliki set nilai tersebut.

Sebaik dipilih secara majoriti oleh para perwakilan sebagai Yang DiPertua, Shafiq terus mengorak langkah yang lebih besar dan kejap apabila diundi sebagai Presiden Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) yang menggabungkan semua ahli Majlis Perwakilan Pelajar/Mahasiswa dari semua kampus IPTA seluruh negara. Kejayaan ini juga membawa makna yang besar kepada Aspirasi USM dan kita semua amnya kerana Shafiq telah mengulangi pencapaian mantan YDP MPP USM Sidang 2010/2011, Saudara Ahmad Wafi bin Shahedan yang turut dilantik sebagai Presiden MPPK yang pertama dari Bumi Minden ini.


Di USM, kami percaya semua kenal dan maklum akan kepimpinan Shafiq yang telah mengangkat budaya berwacana ke suatu tahap yang tinggi dalam kalangan mahasiswa-mahasiswi di sini. Sehingga kini, tak kurang empat belas siri wacana ilmu telah dijayakan membabitkan pelbagai tokoh berpengaruh baik dari dalam negara mahupun dari peringkat antarabangsa. Usaha beliau dan pasukannya itu sedikit sebanyak telah meletakkan peranan mahasiswa USM dalam radar penebaran ilmu rentas bidang di luar bilik kuliah seperti yang sedang diusahakan oleh pihak Universiti.

Shafiq bersama Saudari Nursyifa Shahida, salah seorang
PPSL Sidang 2014/2015
Selain siri Wacana Ilmu yang menjadi fenomena di USM, Shafiq juga telah melancarkan pelbagai program lain baik di dalam kampus ataupun melibatkan masyarakat luar, sama ada di dalam negara mahupun di peringkat global. Selain itu, beliau juga berusaha gigih memastikan setiap manifesto yang dibentangkan oleh para ahli MPP direalisasikan sebaik mungkin sebelum penggal pentadbirannya berakhir pada penghujung Oktober ini.


Dalam siri artikel ini, kami akan luncurkan semula rekod-rekod kejayaan MPP USM Sidang Akademik 2013/2014 di samping mengimbas legasi 10 tahun kepimpinan MPP yang ditunjangi  para pendokong wadah Aspirasi USM. Teruskan menyokong kami kerana kami ialah anda dan kita ialah warga USM!

1 comment: