Thursday, March 6, 2014

SIAPA SITI KASIM MAHU BODOHKAN ULAMA?

5 Mac 2014, Mahkamah Persekutuan bersidang mendengar permohonan mencabar keputusan Mahkamah Rayuan yang tidak membenarkan orang bukan Islam menggunakan kalimah Allah di Malaysia.

Sebelum itu, pada 14 Oktober 2013, Mahkamah Rayuan telah pun membuat keputusan tersebut dan disambut dengan penuh kesyukuran oleh umat Islam dengan harapan polemik ini akan berakhir secepat mungkin. 

Ya, ia polemik. Polemik yang cukup sukar. Polemik yang perlu ditangani dengan cermat. Apabila diheret ke mahkamah, maka ia perlu diadili sebaik-baiknya dengan lunas perundangan yang paling tepat.  

Namun, kemunculan pelbagai pihak yang tidak diketahui asas ilmu mengenal Allah secara tiba-tiba dengan pelbagai kenyataan yang mengarut dan menyimpangi kebenaran sedikit sebanyak telah mengeruhkan keadaan. Natijahnya, polemik penggunaan kalimah Allah menjadi kian sukar dan rumit.

Terbaru, kenyataan yang dikeluarkan oleh Siti Zabedah Kassim, seorang peguam dan aktivitis yang mengaku masih Islam dan berbangsa Melayu. Dalam kenyataan beliau itu, beliau melabelkan orang Melayu yang mempertahankan kalimah Allah ini sebagai lembu yang bodoh kerana patuh sahaja kepada saranan alim ulamak dalam isu ini. 


Lihat apa kata Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat, Mursyidul Am PAS yang juga bekas Menteri Besar Kelantan ; “..kalau agama lain yang tuhannya tidak satu bahkan tiga ataupun lebih, tiba-tiba nak guna Allah, itu mengarut!”

Maka siapa Siti Kassim ini jika dibandingkan dengan Tuan Guru yang disanjungi umat Islam di Malaysia ini?

Melayu Liberal

Sejarah membuktikan golongan seperti Siti Kassim sentiasa wujud pada setiap zaman. Bukan hanya pada zaman ini sahaja golongan liberal yang mentafsir agama dan kepercayaan dengan akal fikiran ini sentiasa cuba memesongkan kebenaran, malah pada zaman Baginda Rasulullah SAW pun sudah ada. Antara yang terkenal ialah Abdullah bin Ubai bin Salul dan Dzul Khuwaisirah. Jika dibandingkan dengan Siti Kassim yang mengaku Islam, apalah sangat. Namun ironinya, mereka berkongsi banyak persamaan : mengaku Islam tetapi berakhlak sebaliknya. 

Siti Zabedah Kassim.

Pada zaman ini, istilah yang lebih popular untuk golongan ini ialah Islam Liberal yang kuat berpegang kepada konsep pluralisme akidah. Ia bermaksud, mereka percaya bahawa semua agama dan kepercayaan adalah sama kerana menyembah Tuhan yang sama iaitu Allah. Yang berbeza ialah kaedah penyembahan, dan pada mereka, soal kaedah bukanlah isu yang besar.

Jika semua agama benar, yang mana yang diredhai Tuhan?

Bagi orang Islam, Rabb yang disembah hanya Allah SWT, Yang Maha Suci, Tidak Beranak dan Tidak Diperanakkan.

Sebelum kedatangan Islam, yakni sejak terciptanya Nabi Adam AS dan diturunkan ke alam dunia lagi semua manusia diperintahkan menyembah Allah. Zaman beredar tetapi Rabb tetap sama. Namun manusia dengan angkuh mula mencipta pelbagai perkara karut dalam usaha ‘mencapai’ Tuhan. Ada yang mencipta berhala, ada yang menyembah pokok, gunung-ganang, sungai dan sebagainya lagi. Mereka menjadikan simbol-simbol tersebut sebagai perantara kepada Tuhan Yang Satu (Allah) bahkan sampai ke tahap menyekutukanNya!

Adakah Siti Kassim boleh rasionalkan kenapa situasi ini berlaku? Bolehkah Siti Kassim berikan jawapan dengan ilmu perundangannya itu sekaligus membantu kita memahami bahawa tindakan-tindakan menyekutukan Allah itu adalah tindakan yang benar dan diredhai oleh Allah sendiri? Hal ini demikian kerana, menurut kefahaman kita dan para alim ulamak, tindakan menyekutukan Allah adalah tindakan syirik yang paling besar. Jika Siti Kassim percaya bahawa semua kaedah ‘mencapai’ Tuhan itu bukan perkara yang perlu diberatkan, maka dia juga perlu menjelaskan kenapa Allah menurunkan Al-Quran kepada Muhammad SAW mengikut kefahamannya sendiri (itu pun kalau beliau masih beriman kepada Al-Quran).

Rasulullah SAW Memperbetul Kesilapan Beragama dan Kepercayaan Manusia

Sebelum Baginda Nabi Muhammad SAW diangkat menjadi Rasul, masyarakat Arab Jahiliyah yang terdiri daripada kaum Kafir Quraisy menyembah pelbagai bentuk berhala. Jumlahnya bukan sedikit bahkan mencecah ratusan jenis. Masyarakat Arab ketika itu hidup dalam keadaan yang begitu jahil tetapi bukanlah bermakna mereka tidak beragama. Mereka menyembah pelbagai Tuhan dan menyekutukan Allah pada masa yang sama. Kerana kejahilan yang melampau, mereka tidak lagi mengenal Allah SWT sebagai Rabb Yang Menciptakan Alam Semesta.

Keadaan ini berterusan untuk satu tempoh yang lama sehinggalah Allah melantik Muhammad menjadi Rasul terakhir yang berperanan membetulkan kesilapan-kesilapan tersebut. Nabi Muhammad sebagai Rasulullah diberikan tanggungjawab dan amanah untuk berdakwah kepada kaumnya supaya menyembah Allah SWT yang sebenar-benarnya, berhenti menyekutukanNya dengan berhala-berhala buatan tangan dan meninggalkan amalan jahiliyah yang lain. Muhammad SAW mengajarkan Islam, yakni deen yang bermaksud jalan hidup yang menyeluruh yang sejahtera, aman dan selamat.

Dengan turunnya Islam maka segala jalan lain atau kaedah untuk ‘mencapai’ Tuhan yakni Allah itu dianggap tidak lagi valid, terbatal dan termansuh dengan sendirinya. Kenapa? Inilah yang perlu difahami oleh Siti Kassim. Islam sebagai jalan hidup yang menyeluruh adalah suatu jalan yang diredhai Allah SWT, tiada jalan lain kecuali Islam. Jadi bagaimana Siti Kassim boleh ‘redha’ dengan pelbagai bentuk penyekutuan yang dilakukan oleh fahaman lain terhadap Allah sedangkan Allah sudah pun menetapkan kaedah yang paling benar, valid dan wajib diikuti oleh sekalian manusia yakni Islam?

Sepatutnya Siti Kassim menyertai umat Islam yang lain termasuk para alim ulamak dan menyeru orang bukan Islam supaya mengEsakan Allah SWT.

Pertahan Kalimah Allah Bukan Isu Bangsa Tapi Akidah

Dalam klip video yang menyiarkan kenyataan Siti Kassim selepas mahkamah bersidang, jelas sekali Siti Kassim lebih banyak menyerang orang Melayu berbanding menyebarkan kebenaran bahawa “Allah itu Tuhan seluruh alam” seperti yang terpampang di bajunya.

Apakah yang Siti Kassim faham dengan maksud ayat “Allah Tuhan seluruh alam” itu? Adakah Siti Kassim faham “Allah Tuhan seluruh alam” itu membawa maksud Allah Yang Maha Pencipta telah mencipta dan menguasai seluruh isi alam termasuk manusia dan makhluk-makhluk yang lain? Namun manusia dengan angkuh dan sombongnya, dengan sedikit akal yang dikurniakan, telah menyekutukan Allah SWT dan pada masa yang sama pula, Allah SWT tidak rugi apa-apa pun akibat daripada perbuatan manusia-manusia yang menyimpang itu. Yang akan rugi ialah manusia-manusia itu sendiri kerana menolak kebenaran yang hakiki.

Adakah Siti Kassim termasuk dalam golongan itu seperti kata-kata beliau, “Saya tidak kisah orang nak kata saya murtad. In the end, tuhan yang akan judge saya,…”? Siapakah ‘tuhan’ yang dimaksudkan akan judge beliau nanti itu? Tuhan yakni Allah yang disembah oleh umat Islam (sebenar-benar jalan yang diredhai oleh Allah SWT sendiri) atau tuhan versi palsu yang lain?

Kita perlu sedar dan beriman bahawa Rabb yang kita sembah ialah Rabb yang khusus merujuk kepada Allah, bukan tuhan yang difahami secara umum yang boleh ditafsirkan sewenang-wenangnya sebagai God seperti yang dituntut oleh pihak The Herald dan gereja dalam polemik ini. Hal inilah yang gagal difahami oleh Siti Kassim dengan sebaik-baiknya. Kita boleh bersangka baik, mungkin ilmu agamanya cetek dan kefahaman beliau terhadap konsep tauhid senipis kulit bawang, namun jangan sekali-kali kita menyokong Melayu Islam Liberal seperti beliau yang tegar dalam kejahilannya itu.

Ini isu akidah yang besar, bukan soal perjuangan bangsa. Kita tidak mahu apa yang berlaku di Indonesia yang lahir akibat pluralisme akidah yang melampau turut berlaku di negara ini. Di Indonesia, saban tahun jumlah orang Islam yang murtad (keluar daripada Islam) mencecah angka 2 juta orang. Kenapa hal seperti ini berlaku? Kami tidak perlu menjawab persoalan ini sebaliknya kita perlu bersama-sama berfikir untuk mencapai kefahaman supaya pada akhirnya kita boleh bersatu menegakkan kebenaran.

Kepada Siti Kassim dan mereka yang menuntut hak penggunaan kalimah Allah itu kepada orang bukan Islam, jika kalian masih Islam, tanyalah hati kecil anda, “kenalkah aku siapa Tuhanku yang sebenar-benar?” Mudah-mudahan, kalian peroleh jawapan yang benar.

Allah itu Maha Benar. Islam itu jalan yang benar. Carilah kebenaran melalui jalan yang benar ini supaya kita kenal siapa Tuhan yang sebenar-benarnya benar. 


Nota : Artikel ini ialah pandangan peribadi admin.

3 comments:

  1. Siti Kassim, anak dara tua ini mengalami kisah silam yg pahita.dibuang keluarga di rumah kebajikan yang diuruskan bukan untuk bukan muslim.Membesar dalam tertekan dan menderita tambahan pula,diusia mudanya sekali lagi,dia ditinggalkan oleh teman lelakinya kerana dia mempunyai rupa paras tak menarik dan perangai gediknya suatu masa dahulu.Putus cinta dengan lelaki itu,memyebabkan dia marah dan berdendam,lalu pertimbangan akal pun hilang,maka diapun menyalah takdir dan Allah S.W.T....lalu terjadi seperti terjadi hari iaitu mempersenda kewujudan Allah S.W.T

    ReplyDelete