Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum WBT dan Salam Aspirasi Menjunjung Perpaduan
Mahasiswa
Dunia politik kita sentiasa
kalut. Kalau dulu kita punya persepsi bahawa politik hanya akan dibicarakan
apabila tiba musim pilihanraya sahaja. Kini persepsi sedemikian ternyata sudah
menyimpang jauh daripada realiti yang berlaku. Politik pada masa kini sudah
bertukar rupa menjadi agenda besar rakyat yang dibicarakan tanpa mengira waktu
atau musim, tanpa mengira tempat dan suasana, dan oleh sesiapa sahaja. Bahkan,
jika terdapat mana-mana individu atau pihak yang mendakwa mereka adalah bebas
dan berkecuali, percayalah mereka sebenarnya sedang berbohong. Realiti kita
hari ini menjadikan kita, paling tidak pun, untuk cenderung berpihak kepada
salah satu pihak – baca: kerajaan ATAU pembangkang – kerana kewujudan pelbagai
desakan di sekeliling.
Pasca Pilihanraya Umum ke-13 (PRU-13)
baru-baru ini yang berlangsung pada 5hb Mei 2013, nampaknya kita semakin buas
berpolitik. Berbanding sebelum tanggal 5.05 itu, ramai yang berharap segala
kemelut politik yang telah banyak memecah-belahkan rakyat di negara ini akan
selesai dengan berakhirnya PRU-13 dan memuktamadkan perebutan “siapa benar
siapa salah” dengan bermacam bentuk pembongkaran hingga ke tahap mengaibkkan
maruah pihak lawan dan kawan sendiri, namun harapan itu ternyata telah
dipalsukan oleh para pemimpin politik kita sendiri.
Lihat sahaja hari ini. Tidak semena-mena,
kita dipaksa untuk mengambil bahagian dalam satu lagi pilihanraya kecil (PRK) yang
sepatutnya telah pun selesai pada 5.05.2013 yang lalu. Semuanya kerana ingin
memuaskan nafsu politik dan mencapai agenda segelintir pihak yang kemaruk akan
kuasa. Kenapa mesti diadakan satu lagi pilihanraya kecil (PRK) yang tentunya
akan menelan belanja yang besar dan mengorbankan masa rakyat? Pilihanraya kecil
(PRK) tidak wajar dijadikan platform mudah atau jalan pintas untuk berkuasa
selepas gagal dalam pilihanraya umum (PRU) walaupun secara perundangan ia
dibenarkan.
Kita sewajarnya secara bersama
bersetuju bahawa sesuatu pilihanraya kecil (PRK) hanya boleh diadakan jika
berlaku perkara-perkara yang tidak boleh dielakkan seperti kematian penyandang,
kehilangan kelayakan penyandang atau si penyandang meletakkan jawatan atas
sebab kesihatan, dan sekiranya si penyandang ingin menerima jawatan yang lebih
besar dan memerlukan beliau meletakkan jawatan.
Dan kita juga sewajarnya secara
bersama bersetuju untuk menentang sebarang bentuk tindakan pengunduran
seseorang Yang Berhormat daripada jawatan yang disandangnya atas alasan parti,
atau berundur kerana ingin memberi laluan kepada pemimpin tertingginya
menggapai cita-cita peribadi. Adakah ini susah untuk dilakukan? Malangnya,
dalam hal sebegini kita lebih suka berbalah sesama sendiri dan membiarkan
korupsi politik ini berjalan tanpa halangan. Kita marah akan budaya politik
wang, tapi kenapa kita bersetuju dengan budaya bacul sebegini yang lebih besar penghinaannya
daripada budaya politik wang?
Ayuh rakyat. Cukup-cukuplah
diperbodohkan.
No comments:
Post a Comment