Tuesday, February 11, 2014

PRK KAJANG AGENDA BIJAK ANWAR IBRAHIM

Bismilillahirrahmanirrahim

Assalamualaikum WBT dan Salam Aspirasi Menjunjung Perpaduan

Ramai yang melihat Kajangmove sebagai agenda yang dirancang untuk mengalihkan pelbagai isu yang berlaku belakangan ini. Walaupun mengundang damage yang agak besar terhadap Parti Keadilan Rakyat (PKR) pimpinan de facto Anwar Ibrahim, namun sedikit sebanyak ia telah berjaya mengalihkan perhatian rakyat dan media amnya terhadap isu-isu besar seperti kemelut dalaman Kerajaan Negeri Selangor, krisis meruncing dalam Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), isu kalimah Allah, isu gereja, isu kain rentang provokasi yang digantung di hadapan sebuah gereja dan beberapa isu lagi yang sedang membelit rakyat. Isu-isu ini, secara mudah, sebenarnya tidak berpihak kepada Pakatan Rakyat (PR) sebaliknya sedang memberikan keuntungan besar kepada Barisan Nasional (BN) walaupun pada masa yang sama terdapat isu lain yang lebih utama iaitu kenaikan kos sara hidup di seluruh negara.

Kenapa jadi begitu? Mudah, kerana rakyat kita yang terlalu obses terhadap politik dan kedua, kerana rakyat semakin menyampah dengan gelagat para pemimpin politik. Lantaran itu rakyat mula bersuara dalam apa-apa jua isu yang berbangkit, lekas berhimpun untuk menyatakan perasaan dan media pula terutamanya yang bersifat alternatif, akan mengambil kredit daripada setiap isu untuk menambahkan rencah. Maka, setiap isu akan meletup dengan pantas. Di Malaysia, secara purata, setiap pihak – baca: kerajaan ATAU pembangkang – hanya mempunyai 6 JAM sahaja untuk menjawab sesuatu isu berbangkit atau mereka akan tewas teruk. Di sinilah pentingnya peranan tentera maya yang akan bertindak mematahkan setiap serangan dan melakukan serangan balas dalam masa 6 JAM tersebut.

Pakatan Rakyat ternyata menyedari kelemahan mereka apabila semua isu ini dimainkan di media maya. Justeru, bagi memastikan kesemua isu ini tidak menambahkan kerosakan terhadap kredebiliti Pakatan Rakyat, sesuatu perlu dirancang. Sifirnya, cipta damage baharu bagi merawat damage sedia ada. Inilah yang dilakukan oleh Pengarah Strategik PKR, YB Rafizi Ramli apabila membentangkan cadangan pengosongan kerusi DUN Kajang dan menamakan Anwar Ibrahim sebagai calon baharu. Dalam sekelip mata sahaja, segala isu lain membeku. Dalam sekelip mata sahaja, semua pihak terkedu sebelum tersedar dan mula bersuara dalam pelbagai rentak. Bukan sahaja pihak lawan (BN), malah kalangan rakan PKR dalam PR sendiri berbeza pandangan. Polemik yang tercipta ini sebenarnya telah dirancang oleh Rafizi Ramli dan PKR bagi memastikan damage sedia ada dinyahkan dan masa yang ada kemudiannya akan digunakan untuk membaiki damage baharu ini. Dalam erti kata lain, membina kredebiliti baharu daripada kerosakan silam. Ia adalah satu bentuk genius politik.

Namun, adakah kita perasan atau sedar bahawa kebijakan strategi ini sebenarnya turut merugikan rakyat? Cukup bercakap soal kos dan duit awam. Fikirkan yang ini pula : isu tuntutan COMANGO. Sedar atau tidak, kini tiada lagi pihak yang sudi bercakap tentang isu COMANGO? Malangnya, itu jugalah yang sedang berlaku.


No comments:

Post a Comment