Sunday, March 20, 2011

Rekod Cerdik USM

Hening pagi di bumi Minden tak lagi seperti biasa. Sejak dua hari yang lalu, burung-burung dan kawanan cengkerik seakan tewas dan akur. Tewas kepada ‘kegilaan’ sekumpulan anak muda bergelar mahasiswa USM mencipta rekod baru baca puisi terpanjang di Malaysia, dan akur dengan kesungguhan dalam mereka membuktikan bahawa warga USM tidak pernah lesu menukilkan kelainan dalam jagat varsiti ini.

Sejurus membuka gelanggangnya pada Jumaat yang lalu, majlis baca puisi yang bertemakan “Sahabat Selamanya” ini terus meriah dengan para peserta bersilih ganti mengemudi kembara puitis tersebut bagi mencatatkan rekod 72 jam tanpa henti, yang pertama seumpamanya di negara ini. Untuk rekod, sebelum ini Gabungan Penulis Nasional (Gapena) pernah menganjurkan Ratib Seribu Syair yang juga memakan masa lebih tiga hari tiga malam.

Justeru kami ingin mengambil peluang ini mengucapkan tahniah dan syabas kepada seluruh tenaga kerja yang menjayakan program ini. Harapan kami juga tinggi, sama seperti anda semua, ingin melihat acara yang julung-julung kali diadakan ini dipahatkan dalam Malaysia Book of Records sekali gus mengharumkan nama universiti tercinta ini.

Kami juga senada dengan pendapat Siti Jarum dalam ruangan Hiburan Pancaindera minggu lepas yang memuji usaha Majlis Penghuni Desasiswa Fajar Harapan dan penganjur bersama yang lain sebagai satu program yang cerdik dan lain dari kebiasaan. Bagi kami, program ini jelas sekali berpaksikan kecerdikan dan keintelektualan, dengan hasrat yang cukup besar melangkaui batas sempadan negara dan rumpun bangsa.

Jika kita imbas semula, begitu banyak rekod telah dimuatkan dalam catatan negara tetapi adakah semuanya atau sebahagian besar daripada rekod-rekod tersebut mencapai sesuatu yang boleh dibanggakan untuk suatu tempoh yang lama?

Kita biasa mendengar rekod menghasilkan kain rentang terpanjang, menyusun syiling, buku dan sebagainya menjadi bangunan atau logo tertentu, malah, menumbuk sambal cili terpanjang juga pernah ‘dijayakan’ oleh rakyat negara ini. Tetapi sejauh manakah acara-acara sedemikian mampu meninggalkan impak yang tinggi terhadap masyarakat dan item yang direkodkan itu sendiri? Kami percaya pada akhirnya, ia hanya kekal sebagai suatu rekod syok sendiri sahaja.

Bukanlah kami hendak mendabik dada dengan usaha rakan-rakan kita ini, tetapi kami yakin, tidak salah untuk kita berbangga dengan kebolehan warga kampus USM mencipta kelainan. Kami bahkan melihat acara ini sebagai suatu indikator baru dalam kita mengobarkan pandangan, suara dan harapan sejagat dengan cara yang aman dan harmoni. Inilah ruang alternatif untuk kita bersuara sebenarnya!

Justeru kami menyeru sahabat semua khususnya warga USM kampus induk untuk turun beramai-ramai memeriahkan acara ini di samping menyokong rekod cerdik ini dijayakan. Masa masih panjang. Ketika kami menulis artikel ini, kembara puisi Sahabat Selamanya baru sahaja melepasi 40 jam yang awal. Dengan baki kurang 30 jam lagi, kami percaya semua yang terlibat akan lebih bersemangat dan berdebar-debar menantikan detikan jam yang ke 72 sekali gus dipahatkan dalam Malaysia Book of Records!

Go USM!

1 comment: