Suatu hakikat yang tidak boleh digugah lagi ialah fakta bahawa sebahagian besar mahasiswa di kebanyakan institusi pengajian tinggi pada hari ini tidak ambil kisah dengan AUKU, atau lebih teruk, tidak tahu pun akan kewujudkan akta tersebut.
Walaupun perkara ini seharusnya dipandang serius kerana ia berkait rapat dengan hak-hak dan batasan sebagai seorang mahasiswa, tetapi kita tidak boleh menyalahkan mereka sepenuhnya kerana tidak ambil kisah dengan akta berkenaan. Hal ini demikian kerana, rata-rata mahasiswa hari ini sudah dipasak dengan persepsi paling asas berkaitan peranan asasi mereka apabila menjejakkan kaki ke alam kampus iaitu untuk belajar dan mengenggam segulung ijazah di hujung pengajian. Persepsi ini tidak dibina oleh persekitaran tetapi ia tumbuh sejak mereka mula melangkah keluar dari rumah masing-masing lagi.
Keadaan hanya berubah apabila mereka melihat peranan sebagai mahasiswa dari suatu jurus pandang yang berbeza berbanding persepsi awal tadi. Mereka mula mengenal apa itu AUKU apabila diberitahu oleh pihak-pihak tertentu dan menjadi semakin arif apabila terlibat secara langsung dalam diskusi atau perbincangan formal ataupun tidak formal berkenaan akta tersebut, tetapi itu tidak menjamin sejauh mana kefahaman mereka tentang AUKU akan terbentuk.
Pada tahap ini, akan wujud beberapa keadaan di mana kumpulan-kumpulan dengan pemahaman yang berbeza tentang AUKU akan saling bertindak balas. Ia berpunca daripada sumber dari mana mereka memahami perihal akta tersebut dan sejauh mana mereka memahami keseluruhan atau sebahagian daripada akta yang diaplikasikan di kebanyakan universiti dan kolej universiti itu.
Dalam bahagian pertama artikel ini, kami tidak akan berbicara tentang kerelevanan AUKU kerana ia merupakan tahap yang lebih tinggi dan memerlukan kupasan yang lebih ilmiah, tetapi fokus utama kami ialah kewujudan perbezaan aliran pemahaman dalam kalangan mahasiswa terhadap AUKU dan bagaimana mahasiswa yang masih tercari-cari sumber yang absah boleh turut serta dalam mana-mana kumpulan berkenaan.
Ia bukan lagi suatu hal yang perlu dibincangkan secara sembunyi-sembunyi kerana pada hari ini, kumpulan-kumpulan mahasiswa berkenaan sudah terbuka dan mampu berdiskusi dengan lebih konklusif malah pihak universiti juga tidak menetapkan sebarang larangan yang khusus terhadap sebarang diskusi berkenaan AUKU. Semuanya demi menjana kecaknaan mahasiswa terhadap akta ini yang turut diperdebatkan di peringkat tertinggi politik nasional. Justeru kami beranggapan bahawa adalah suatu yang merugikan jika kita tidak turut serta membincangkan akta ini.
Berbalik kepada fokus utama bahagian ini, kami ingin mengajak sahabat-sahabat semua melihat dari peringkat paling asas, iaitu bagaimanakah kumpulan-kumpulan yang menaakul AUKU ini boleh berbeza pandangan atau pendirian.
Kumpulan yang membentuk majoriti atau mewakili sebahagian besar mahasiswa sebenarnya ialah kelompok yang tidak kisah atau kurang peduli atau mungkin langsung tidak ambil tahu dengan akta tersebut. Ia suatu fakta yang sukar dinafikan walaupun belum ada bancian khusus berkenaan kewujudan kumpulan-kumpulan terbabit.
Kumpulan terbesar ini lahir atau wujud secara natural, iaitu atas sebab personal seperti tidak berminat, tidak mahu membebankan diri sendiri dengan isu-isu yang tidak berkaitan dengan pembelajaran, tidak suka ‘politik’ kerana beranggapan AUKU itu berkoheransi secara langsung dengan politik, tidak mahu membuang masa menyertai diskusi atau perdebatan di samping berasa selesa dengan persekitaran sedia ada seperti di USM ketika ini.
Kumpulan ini sebahagian besarnya merupakan kelompok mahasiswa yang sudah dipasak dengan persepsi bahawa AUKU tidak penting untuk diambil tahu oleh mereka. Walaupun sesetengah universiti atau IPT telah mengadakan sesi khas untuk menerangkan perihal AUKU dan lain-lain peraturan universiti atau kolej pada awal pengajian mereka, tetapi kumpulan pelajar ini selalunya hanya mengambil mudah akan peringatan tersebut kerana beranggapan bahawa mereka sudah pasti akan melakukan perkara-perkara yang sepatutnya sesuai dengan kehidupan di kampus, tidak akan melanggar peraturan atau menentang pihak universiti atau kerajaan secara terang-terangan. Tindakan menghindarkan diri inilah yang membentuk persepsi yang kekal dalam kalangan mereka sehingga tamat pengajian yang cuma berusia tiga hingga lima atau enam tahun tersebut.
Kumpulan kedua yang selalunya wujud ialah kumpulan yang faham sebahagian daripada AUKU terutamanya pada bahagian Perkara 15 yang menyentuh penglibatan mahasiswa dalam hal-hal politik kepartian, badan-badan bukan kerajaan, persatuan dan kelab dan sebagainya lagi yang memenuhi konotasi kebebasan bersuara dan hak asasi mahasiswa sebagai rakyat negara ini.
Kumpulan ini pada asasnya wujud setelah mereka diberitahu oleh sumber-sumber tertentu tentang ketidakrelevanan AUKU yang dianggap sebagai zalim dan mengekang kebebasan asasi para mahasiswa dan pada masa yang sama, mereka juga berusaha mencari sisi ‘negatif’ tersebut melalui pembacaan, perbincangan dan kajian berdasarkan kes-kes tertentu yang pernah berlaku di sesetengah IPT seperti insiden demonstrasi di USM pada tahun 2004 dan insiden ‘Rosmah Puaka’ di Universiti Malaya pada tahun lepas. Dari situlah mereka melihat AUKU sebagai zalim dan menindas sehingganya akhirnya persepsi tersebut menjadi ideologi atau pegangan yang dikongsi bersama dalam kalangan mereka.
Pada dasarnya kelompok atau kumpulan ini lebih cakna berbanding kelompok pertama kerana mereka berusaha memahami AUKU dan berjuang menuntut ia dihapuskan secara total. Kumpulan ini wujud di hampir kesemua IPT di negara ini dan menjadikan agenda menuntut penghapusan AUKU sebagai manifesto perjuangan mereka dalam jagat politik kampus. Kita dapat melihat dengan jelas agenda ini melalui perbincangan terbuka yang sering dianjurkan oleh meraka dan juga melalui wacana-wacana yang ditulis khas berkenaan AUKU. Suatu ciri khas kumpulan ini ialah mereka lebih vokal dan berani, malah sering memilih jalan demonstrasi bagi menyuarakan pendapat mereka.
Kelompok seterusnya ialah kumpulan mahasiswa yang faham AUKU terutamanya pada bahagian Perkara 15 tersebut tetapi mempunyai pandangan atau persepsi yang berbeza. Kumpulan ini mungkin juga memahami keseluruhan AUKU atau mungkin hanya pada bahagian Perkara 15, sama seperti kumpulan kedua tadi tetapi jurus pandang yang melingkari pemahaman mereka adalah berbeza secara total kerana melihat Perkara 15 sebagai penting dan relevan bagi mengekang pengaruh politik parti-parti di luar kampus ke dalam kampus. Namun kumpulan ini selalunya tidaklah terlalu vokal, lebih rasional dan sedia berdiskusi secara sederhana kerana mereka beranggapan ia bukanlah suatu isu yang perlu diperdebatkan.
Kumpulan ini juga melihat Perkara 15 sebagai penyelamat keharmonian kampus selepas menilai insiden-insiden yang pernah berlaku. Sama seperti kumpulan kedua tadi, kumpulan ini juga bersumberkan info-info yang disampaikan oleh pihak tertentu seperti Bahagian Hal Ehwal dan Pembangunan Pelajar (BHEPP) di samping penaakulan sendiri. Kumpulan ini pada masa yang sama juga tidak bersetuju dengan pandangan bahawa AUKU mengekang kebebasan bersuara mahasiswa kerana mereka melihat kebebasan tersebut wujud atau dipraktikkan dalam ruang yang lebih luas dan tidak hanya berkaitan politik semata-mata.
Namun begitu, kumpulan ketiga dan kedua ini masih ketinggalan jika dibandingkan dengan kumpulan terakhir yang jumlahnya jauh lebih kecil. Kumpulan yang dimaksudkan ini merujuk kepada kelompok mahasiswa yang cakna dan faham keseluruhan akta tersebut dan tidak hanya memfokuskan perbincangan terhadap Perkara 15 sahaja. Kumpulan ini selalunya lebih rasional dan memilih jalan berkecuali setiap kali diasak dengan perdebatan berkenaan Perkara 15. Hal ini demikian kerana mereka melihat AUKU sebagai sebuah institusi perundangan peringkat universiti yang menyediakan garis panduan kepada mahasiswa sepanjang tempoh pengajian mereka dan sebagai sebuah institusi perundangan yang sah, ia tidak boleh dilihat secara terpisah-pisah sebaliknya harus dibaca keseluruhan jika benar ia menzalimi mahasiswa.
Sebab utama kumpulan ini tidak mahu terbabit secara langsung dalam mana-mana perdebatan adalah kerana berasakan tindakan tersebut sebagai tidak matang dan terikut-ikut dengan emosi yang natijahnya tidak berkesudahan. Untuk mencapai tahap kefahaman secara komprehensif ini, seseorang haruslah membaca keseluruhan akta tersebut dan mempraktikkannya melalui penglibatan secara langsung dalam aktiviti-aktiviti membabitkan mahasiswa baik di dalam kampus mahupun di luar kampus. Hanya melalui penglibatan secara langsunglah mahasiswa mampu memahami secara keseluruhan AUKU terutamanya dalam hal kebebasan bersuara dan boleh berdiskusi dengan baik apabila ditanya berkenaan AUKU.
Justeru sebagai mahasiswa, kita haruslah berusaha mencari dan memilih sumber yang tepat untuk memahami kepentingan AUKU secara keseluruhan. Adalah suatu tindakan yang tidak matang jika kita hanya tahu bersorak kerana diminta tetapi tidak tahu kenapa atau untuk apa kita bersorak. Juga bukanlah mahasiswa jika kita hanya mampu mengikut kemahuan pihak-pihak tertentu tetapi tidak peka dengan keperluan kita sendiri di dalam kampus dan yang lebih penting, tidaklah digelarkan mahasiswa jika kita gagal membezakan perkara yang baik dan tidak baik serta perkara yang bermanfaat secara total dan perkara yang tidak memberikan manfaat langsung.
Dalam bahagian seterusnya artikel ini, kami akan mengupas pula beberapa isu berkaitan AUKU terutamanya yang melibatkan kes-kes berprofil tinggi dan bagaimana mahasiswa khususnya di USM boleh memahami AUKU tanpa terpisah-pisah. Pada masa yang sama, kami mengalu-alukan sebarang komen atau pandangan berhubung artikel ini sama ada yang menyokong atau sebaliknya. Ayuh kita raikan kebebasan bersuara cara kita! Hingga berjumpa lagi.
No comments:
Post a Comment