Saturday, September 26, 2009

WE LEAD


Suasana universiti kita sekarang jika dibandingkan dengan tahun-tahun 90-an dan mungkin lebih jauh ke belakang ternyata sangat berbeza. Kini kita sudah mampu mencapai pelbagai kejayaan baik yang kecil-kecil mahupun yang besar-besar berkat kerja gigih setiap daripada kita semua.


Kita juga sudah mampu menggapai kecemerlangan dalam banyak bidang. Banyak hasil kajian kita sudah dikomersialkan sesuai dengan status universiti penyelidikan utama negara. Bidang sains yang menjadi teras USM bukan lagi bidang yang sekadar cuba-cuba.


Kita semakin yakin dengan kemampuan diri untuk keluar daripada kelompok persaingan sebaliknya gah sebagai pencetus dan perintis. Kita semakin berani menjadi pemimpin kepada rakan-rakan IPTA lain. Bahkan kita bangga untuk berdiri di hadapan dunia sebagai peserta yang wajib diberikan perhatian.


Begitu juga dengan bidang kejuruteraan dimana semakin banyak penemuan dimanfaatkan oleh mesyarakat umum. Pendeknya, kita sudah berupaya menempa kegemilangan dan hari ini kita sedang mengorak langkah pula menuju keterbilangan sebagai sebuah universiti glokal. Inilah kita dalam rupa sebenar pemimpin. We lead, tunjang yang kita pegang erat sejak sekian lama.


Pun tentu, dalam menempa kejayaan dan kecemerlangan tersebut, kita tidak bongkak kepada rakan-rakan dan taulan. Kita tidak suka untuk berdiri dengan dada megah terbuka konon kitalah yang terbaik. Kita menolak budaya yang tidak mahu berpijak di bumi nyata. Kerana kita memimpin, maka kita perlu sedar, langit yang tinggi dijunjung tetapi ke bumi juga kita berpijak.


Padang ini mungkin tidak sama ratanya. Padang ini ada tinggi rendah permukaannya. Dan di sinilah juga kita berpijak dan bermain sepak terajang dalam dunia ini. Dahulu kita berlari. Kita mengejar matlamat. Kita bersaing hebat. Kadang ada waktunya kita penat. Tetapi kita pesan pada diri, kita harus lebih lekas dan langkah harus makin deras.


Kita beritahu rakan-rakan, ayuh turut serta mencipta lebih banyak persiapan kerana kami tidak mahu menunggu. Kami tidak suka berlengah masa. Langkah harus gegas, tindak harus pantas. Kami perlu memecut lebih laju.


Alhamdulillah, atas prinsip yang kita pegang, rezeki Allah makin terhidang. Amanah sebagai pemacu kecemerlangan kita terima dengan rendah diri. APEX kita junjung dengan hati yang terbuka. Kami mohon izin rakan-rakan untuk melangkah dahulu ke masa depan yang lebih gemilang.


Kenapa kami begini laju? Ke mana yang ingin kami tuju? Mengapa kami tidak mahu menunggu? Siapa pun kami, kami tetap unversiti glokal yang memandang global dengan jiwa lokal.


Kami laju kerana kami sudah penat bertatih dan berjalan mencipta laluan sendiri, lalu kini kami berlari dan memecut pula kerana kami yakin dengan laluan yang telah kami ciptakan. Laluan ini kami yakini akan membawa kami ke satu mercu kejayaan yang kami yakin pula ada kecemerlangan dihujungnya. Kami tidak mahu menunggu kerana bukanlah kami yang suka bertangguh mencipta keterbilangan. Sertailah kami memacu lebih banyak kecemerlangan untuk agama, bangsa dan tanah air tercinta.


Salam Aspirasi 1Siswa 1Malaysia.

No comments:

Post a Comment