Tuesday, September 29, 2009

AUKU - LAGU SUMBANG DARI PRO-M

Oleh Rizuan MH

* Artikel ini adalah jawapan balas kepada artikel Pindaan Auku dalam buku Black or White Edisi 7 yang diterbitkan oleh SPF USM baru-baru ini.





Minda yang kritis tidak dimiliki oleh semua orang. Hanya mereka yang mampu menujah upaya fikir ke tahap yang kritikal saja berkemungkinan menjana idea-idea yang kritis.


Menurut Ishak Ramly, tahap berfikir manusia biasanya terbahagi kepada rendah, sederhana dan tinggi. Upaya berfikir juzuk tinggi akan menemukan seseorang kepada hakikat atau kebenaran yang sejati, sementara upaya fikir juzuk rendah memungkinkan jawapan yang bersifat permukaan saja ditemukan, atau lebih tepat berujukan terus pada konteks. Semua ini tunjangnya adalah kepada apa-apa yang disifatkan sebagai; tersurat, tersirat dan hakikat.


Juzuk rendah – tersurat

Juzuk sederhana – tersirat

Juzuk tinggi – hakikat


Walau bagaimanapun menurut de Bono (1970), pemikiran yang kreatif dan kritis sememangnya berlaku tanpa disedari oleh manusia itu sendiri. Ia sesuatu yang berlaku dengan sendiri dan bukan disengaja-sengajakan. Benarkah pandangan ini? Kita lihat pula definisi daripada kamus Webster’s (1976). Maksud yang diberikan ialah, “the ability to bring something new existence”. Adakah pandangan ini tepat dari jurus pandang ‘alami? Kelihatan ia seolah-olah memberikan makna bahawa kreativiti itu adalah satu kebolehupayaan membawakan sesuatu yang baru sama sekali, yakni daripada tiada kepada ada.


Sementara Hassan (1989) dan Nik Azis (1994) pula memberikan pendifinisian yang lebih literal. Menurut kedua-duanya, terminologi kreatif berasal daripada perkataan Latin – seperti biasa, ia datang dari lubuk segala perkataan dalam peradaban manusia – iaitu ‘creare’ yang bermaksud ‘membuat’ atau ‘to make’. Manakala dalam bahasa Greek pula, ‘krainein’ yang membawa pengertian ‘memenuhi’. Sementara dalam bahasa Inggeris perkataan yang digunapakai ialah ‘create’ atau ‘cipta’ dalam Bahasa Melayu.


Kita lihat pula pandangan yang dikemukakan oleh seorang lagi tokoh pemikir iaitu Torrance (1974). Apa kata beliau?


"To cause to exist, bring into being, originate, to give rise, bring about, produce, to be first to potray and give chraracter to a role or part creation : An original product of human invention or imagination.


A process of becoming sensitive to problems, defiencies, gaps in knowledge, missing elements, disharmonies and so on; identifying the difficult; searching for solutions, making guessess or formulating hypotheses about the defiencies; testing and retesting these hypotheses and posibly modifying and retesting them and finally communicating the results.


Berdasarkan pandangan-pandangan ini, kita tidak mempunyai pilihan lain selain menerima hakikat bahawa upaya berfikir manusia sememangnya boleh mencapai tahap yang tertinggi sehingga mampu meng‘ada’kan sesuatu yang sebelumnya tiada. Ia harus bermula dengan idea yang lahir dan dijana oleh pemikiran yang setakah lebih ke hadapan daripada biasa. Hal ini sekaligus membenarkan pernyataan yang biasa kita dengar iaitu “kejayaan dicipta oleh manusia biasa yang berfikir secara luar biasa”. Hanya mereka yang berani menujah mindanya sekeras mungkin mampu menerbitkan idea-idea atau pemikiran yang baru, segar dan malar, langsung jauh daripada nilai-nilai klise ataupun streotaip.


Dan apabila kita bercakap tentang mahasiswa universiti – sebentar lagi saya akan kecilkan skop kepada hanya di USM – kita memandang pada satu realiti iaitu golongan ini telah diberikan persepsi oleh umum sebagai golongan yang mempunyai pemikiran-pemikiran yang sentiasa segar dan baru. Adakah ini benar atau relevan? Pandangan atau persepsi ini bukan baru. Ia memang sudah terpasak kukuh dalam kalangan masyarakat. Bahkan, pada satu-satu situasi, golongan mahasiswa akan diberikan penghormatan yang wajar sekali oleh masyarakat luar. Cubalah mahasiswa masuk ke kampung-kampung dalam perkumpulan-perkumpulan tertentu, saya yakin anda akan dikalungkan dengan rasa hormat yang tidak kecil oleh orang-orang kampung tersebut.


Di USM, mahasiswa dibenarkan berbudaya kreatif dan kritis. Bahkan menjadi satu tuntutan pula kepada setiap diri mahasiswa itu untuk tampil sebagai pencetus idea-idea baru sesuai dengan status sebagai pemimpin, We Lead. Tidak benar jika ada individu-individu atau perkumpulan tertentu yang mengatakan suara mahasiswa disekat di dalam mahupun di luar kampus. Tidak benar juga jika ada yang mendakwa mahasiswa hari ini lesu dan tidak berdaya fikir yang hebat dan bisa menggegarkan komunitinya, bahkan dunia. Mereka yang berpersepsi sedemikian acap kali tampil dengan hujah kononnya AUKU-lah yang telah melesukan minda para mahasiswa hari ini. Benarkah begitu?


Lesu yang bagaimana? Frasa mana yang jelas menjadi faktor atau penyebab kelesuan mahasiswa hari ini? Dah diselak habis-habiskah setiap baris ayat dan patah kata dalam AUKU? Dalam edaran buku haram Black and White oleh SPF baru-baru ini, pihak editorial secara tidak bertanggungjawab telah mengeluarkan pandangan sempit mereka dengan mendakwa AUKU telah merendahkan kualiti pelajar universiti, bahkan turut juga menjejaskan kedudukan universiti dalam pencapaian akademik dan lapangan kajian. Pihak editorial juga mendakwa kononnya, AUKU diwujudkan hanya untuk menyekat mahasiswa daripada menyertai parti politik yang menentang kerajaan, atau tepatnya, pembangkang. Adakah ini benar? Adakah mahasiswa dibenarkan menyertai UMNO, MIC atau MCA (maaf sekadar menyebut beberapa contoh sahaja) kerana parti-parti ini berada di pihak kerajaan yang memerintah?


Selain itu, buku haram ini juga mendakwa AUKU telah memenjarakan kelibat mahasiswa daripada pandangan umum atau masyarakat. Kononnya, AUKU itu lebih bersifat tembok yang memisahkan mahasiswa daripada bersosial, melemahkan kuasa sosial sivil dan hanya mengutungkan pihak kerajaan iaitu dengan mengukuhkan kuasa dan kedudukannya. Kesimpulan oleh mereka mudah, iaitu, AUKU memang tidak bertujuan untuk melindungi pelajar. Pada saya, inilah contoh pemikiran sempit mahasiswa yang terdesak dan gagal mencari kuasa kreatif mereka. Mereka inilah golongan yang sentiasa memandang sesuatu dari jurus pandang yang prasangka, yang dangkal dan tidak proaktif. Apakah justifikasi mereka?


Dalam artikel yang diberi judul Pindaan AUKU seperti yang dimuatkan dalam buku haram tersebut, keseluruhan hujah atau dalil yang dikemukakan oleh editorial adalah berkaitan dengan satu seksyen sahaja, iaitu seksyen 15 yang hadir dengan kurungan-kurungan tertentu. Dalam seksyen ini, sebelum pindaan dibuat baru-baru ini, menyatakan tentang had-had atau limitasi penyertaan mahasiswa dalam kegiatan sosial. Misalnya, Seksyen 15(2) menyatakan bahawa mana-mana pertubuhan atau persatuan pelajar di dalam kampus tidak boleh bergabung dengan mana-mana pertubuhan di luar seperti NGO dan sebagainya jika tidak mendapat kelulusan bertulis daripada Naib Canselor.


Bagaimanapun, selepas pindaan dibuat, hal ini telah berubah sama sekali. Semua persatuan dan pertubuhan pelajar sudah diberikan kelonggaran untuk menyertai atau bergabung dengan pertubuhan-pertubuhan di luar kampus kecuali parti-parti politik atau persatuan dan pertubuhan yang diharamkan oleh pihak berkuasa khususnya yang berpotensi menimbulkan suasana tidak aman terhadap masyarakat. Hal ini sudah jelas. Bahkan rakyat Malaysia sendiri tahu akan kewujudan sekian banyak badan NGO atau persatuan-persatuan dan gerakan yang tidak selari dengan undang-undang negara. Inilah yang sebetulnya cuba dielakkan daripada berlaku, dan AUKU itu pula adalah garis panduan yang telah dipersetujui oleh Parlimen Malaysia untuk digunapakai sebagai langkah kawalan dan pencegahan.


Saya tidak berhajat menyentuh secara panjang lebar tentang perkara ini kerana pada pandangan saya, golongan mahasiswa seharusnya celik dan mampu memahami kenapa AUKU digubal dan kemudiannya dipinda tetapi pada masa yang sama masih mengekalkan peruntukan perkara yang menghalang para pelajar daripada terlibat dengan parti-parti politik, pertubuhan haram dan sebagainya lagi. Perkara ini juga sebenarnya sudah jelas terang. Ia hanya dimainkan oleh segelintir pihak yang begitu dangkal dan rela dipergunakan oleh pihak-pihak yang berkepentingan tertentu di luar kampus.


Poin saya di sini sebenarnya adalah untuk membangkitkan kembali persoalan adakah AUKU telah melesukan mahasiswa sebagaimana yang didakwa oleh SPF dalam buku haram tersebut? Daripada artikel tersebut, jelas sekali tuntutan mereka supaya AUKU dimansuhkan hanya dibuat berdasarkan kepada satu seksyen sahaja daripada keseluruhan AUKU itu sendiri. Kenapa begitu radikal? Itu pertanyaan saya yang belum terjawab sehingga kini. Sememangnya untuk memansuhkan terus AUKU hanya kerana ia menghalang penglibatan mahasiswa dalam arena politik luar kampus, ia samalah seperti membuang sepinggan nasi kerana ada sebiji padi didalamnya yang belum dikupas. Adakah ia satu tindakan yang cerdik dan menguntungkan?


Saya juga ingin bertanya, adakah SPF benar-benar mendukung demokrasi kampus seperti yang didakwa oleh mereka? Adakah SPF benar-benar berada bersama mahasiswa dalam setiap aktiviti atau program yang dijalankan? Saya pernah menyertai sekian banyak program baktisiswa termasuk di peringkat perdana. Berdasarkan pengalaman dan pemerhatian, saya dapati hanya sebilangan kecil sahaja golongan pelajar Cina dan India di USM yang berminat dengan program-program kemasyarakatan sebegini. Jika benar AUKU menghalang mahasiswa daripada bersosial dan bermasyarakat, kenapa aktiviti sedemikan masih boleh dijalankan? Kalau benar anda mahu bersama masyarakat, kenapa tidak turut serta dalam program-program tersebut?


Sosial sivik yang bagaimana anda inginkan? Atau demokrasi metod apakah yang anda cita-citakan? Demokrasi yang bebas mengkritik usaha kebajikan orang lain? Atau demokrasi yang sentiasa skeptikal dengan pembaharuan dan kemajuan yang dibuat oleh pemerintah amnya dan pihak universiti khususnya? Jika benar itu yang anda inginkan, maka wajarlah AUKU terus dikuatkuasakan bahkan mungkin lebih patut diperketatkan lagi suapaya setiap pelajar lebih bersedia untuk keluar sebagai produk yang yang berkualiti, kreatif dan kritis, dan bukannya yang sentiasa radikal dan mahu menentang pihak yang tidak searus dengan pemikiran mereka.


Selain itu, saya juga tidak nampak apakah pertimbangan yang mereka gunakan sehingga mendakwa AUKU telah mengokong pemikiran pelajar. Hampir setiap hujah yang dikemukakan dalam artikel tersebut pasti akan menyentuh hal-hal politik sedangkan, dalam segenap bidang yang lainnya, mahasiswa sentiasa diberikan ruang seluas-luasnya untuk menyatakan idea dan pemikiran mereka. Lihat sebagai contoh, program Minggu Lestari yang pernah dianjurkan oleh MPP sidang lepas. Banyak sekali aktiviti yang dijalankan yang semuanya baru dan tidak pernah diadakan sebelum ini. Bahkan, USM adalah yang pertama menganjurkan program Earth Hour di negara ini semasa Minggu Lestari diadakan. Adakah ini simbol kepada pengokongan minda seperti yang didakwa? Dimanakah kelibat SPF waktu itu?


Justeru apa yang dapat saya simpulkan di sini ialah, pihak Pro-Mahasiswa khususnya SPF, sememangnya tidak pernah memahamai apakah AUKU dan kenapakah ia penting. Mereka hanya berfikiran selapis dan hanya melihat kekangan politiking sahaja. Mereka juga langsung enggan bertolak ansur dengan usaha-usaha pindaan yang telah dibuat sebaliknya tetap berpendirian ia mesti dihapuskan. Adakah mereka dangkal? Ya, sudah semestinya. Dangkal bahkan sempit sama sekali.

No comments:

Post a Comment