Friday, August 27, 2010

Hudud – Masih Adakah Harapan?

Ketika AC membangkitkan isu ini beberapa hari lalu, tidak disangka-sangka muncul beberapa komentar yang cuba memandang rendah niat AC. Malah, AC dicabar supaya menyatakan pendirian terlebih dahulu berkenaan isu mahasiswa berpolitik, sesuatu yang langsung terkeluar daripada skop perbincangan yang cuba AC bawakan. Tidak cukup setakat itu, AC dituduh pula menjadi suara kepada parti tertentu lantaran isu ini yang berbaur politik dan dibangkitkan oleh pihak-pihak berkepentingan politik di luar sana.

Reaksi ini agak menghairankan. Di mana salahnya bila AC cuba mengajak mahasiswa berdiskusi secara matang berkenaan isu ini? Perlukah AC memperkenalkan diri terlebih dahulu sebagai perwakilan kepada mana-mana parti sebelum berbicara isu yang genting ini? Sudah AC tegaskan, tujuan utama AC adalah untuk mengajak rakan-rakan siswa berdiskusi supaya kita tidak nampak lesu atau ketinggalan arus. Malah isu ini sangat mustahak untuk dibincangkan. Kita tidak mempunyai kuasa untuk menentukan, tetapi AC percaya, kita ada cukup keupayaan untuk melontarkan buah fikiran.

Di luar sana, isu ini begitu dibicarakan oleh pihak-pihak yang ada kepentingan politik. AC tidak mempunyai masalah dengan situasi tersebut. Tetapi apa yang ingin AC kongsikan kali ini ialah hasil perbincangan dan pemerhatian kami terhadap beberapa pandangan yang diutarakan oleh banyak pihak berhubung isu Hudud.

Pertama, kami merumuskan, Hudud tidak boleh ditegakkan melalui peti undi. Juga, negara Islam tidak boleh ditegakkan melalui kuasa angkat tangan atau cop jari di atas kertas undi. Kenapa? Kerana geo-politik negara kita tidak mengizinkannya. Hudud dan Negara Islam tidak boleh dilaksanakan melalui sistem demokrasi yang memerlukan suara majoriti rakyat, dan pada masa yang sama, suara minoriti juga masih kuat seperti yang dapat kita lihat ketika ini di Malaysia. Islam itu sendiri tidak disebarkan melalui demokrasi tetapi melalui jalan dakwah dan tarbiyah. Dua perkara ini sepatutnya dijayakan terlebih dahulu sebelum proses demokrasi digunapakai. Dalam erti kata lain, kami percaya dan yakin, Islam tidak dibangunkan melalui sistem sokongan dan peti undi dari saat ia mula lahir hinggalah ke akhir zaman.

Jadi bagaimana? Seperti yang kami tegaskan tadi, Islam menekankan jalan dakwah dan tarbiyah. Ia memerlukan usaha yang bersungguh-sungguh dan berterusan tanpa mengenal erti penat dan lelah. Setelah itu, barulah demokrasi boleh dilaksanakan, yakni selepas dakwah dan tarbiyah sudah mencapai matlamatnya. Apa natijahnya jika ia diketepikan dan kuasa undi diutamakan? Seperti yang kita lihat hari, ramai pemimpin kita bertelagah sesama sendiri. Lebih malang apabila terdapat parti politik tertentu sudah berani menunjukkan kuasa peti undi dan demokrasi mereka terhadap Hudud sehingga Hudud ‘tewas’ kepada suara ‘mereka yang tidak faham’. Hudud telah gagal mendapat kuasa undi yang secukupnya dalam erti kata lain kerana wujudnya kepelbagaian kepentingan atau orientasi politik dalam kalangan parti politik itu sendiri.

Dalam sejarah perkembangan syiar Islamiah, antara usaha yang dititikberatkan sebelum terbinanya negara Islam ialah dakwah. Ulamak-ulamak dihantar ke seluruh pelosok dunia bagi menyampaikan ajaran Islam. Mereka bersungguh-sungguh dalam gerak kerja dakwah yang dilakukan tanpa mengharapkan balasan pangkat atau kuasa. Cinta mereka totok kepada Islam. Selain itu, Rasulullah SAW sendiri berdasarkan catatan sejarah pernah mengutus surat dakwah dan penjelasan berkenaan Islam kepada penguasa-penguasa utama dunia seperti pemimpin Yahudi Khaibar, Kaisar Romawi, Raja Negus, Raja Khosrau II, Al-Muqawqis (Penguasa Mesir) dan banyak lagi. Semuanya belum mengenal Islam. Soalnya, adakah kaedah ini telah diaplikasikan ketika ini oleh pihak berkenaan?

Kedua, sekilas, kami setuju bahawa isu ini akan kekal menjadi modal di pentas-pentas ceramah atau dada-dada media massa. Hudud sememangnya tidak relevan jika hendak diperjuangkan melalui proses demokrasi kerana demokrasi itu sendiri mengutamakan suara orang ramai dalam sesuatu keputusan. Katakan jika Hudud benar-benar ingin dilaksanakan secara serius, ia memerlukan undi 100% daripada orang Melayu (Islam) dan segelintir mereka yang beragama Islam (bukan Melayu) kerana kaum Melayu adalah majoriti di negara ini. Dari segi konsep, begitulah. Tapi secara praktikal, adakah ia boleh dilaksanakan? Bagaimana dengan suara kaum bukan Melayu (Islam) yang mungkin nisbahnya seimbang? Malah, kita sedia maklum, orang-orang Melayu (Islam) sendiri berpecah-belah. Pada akhirnya, ia tetap kembali kepada usaha dakwah dan tarbiyah yang langsung terhindar daripada kepentingan politik dan kuasa sebelum dilaksanakan proses demokrasi.

Kesimpulannya, berdasarkan perbincangan kami dan kutipan pandangan daripada beberapa penulisan lainnya, kami di Aspirasi Corner yakin dan percaya, untuk melaksanakan Hudud dan negara Islam, ia memerlukan lebih daripada apa yang sedang diusahakan ketika ini dan yang penting, ia hendaklah kembali kepada jalan dakwah dan tarbiyah. Bukan jalan demokrasi atau peti undi yang perlu digunakan tetapi perpaduan seluruh umat Islam khususnya orang Melayu di negara ini. Kuasa undi dan demokrasi telah pun menunjukkan signal TIDAK kepada perlaksanaannya.

2 comments:

  1. Bagi saya hudud tidak akan jadi masalah jika proses kefahaman di jalankan...semua org akan dpt menerimanya.. masalahnya sekrang selama 50 thn xpernah pun isu hudud d bincang dgn serius.. bila kelantan nak laksana hudud ada beberapa akta yang menyekat drp berlaku..sehinggakan ada yang ingin menyaman kerajaan negeri jika laksankannya.. AC hanya sembang kosong dgn mengemukakan teori2 mcm d atas.. tp punca sebenar hudud x dpt d laksankan adalah keran orang Islam sendiri yang tidak mahukannya.. sekelompok muslim yang hanya muslim pada nama..

    ReplyDelete
  2. anonymous 7.14am,

    saya tidak nampak apa yg diutarakan oleh artikel ini sekadar teori..kalau anda gunakan akal yg cakna dan melihat situasi sebenar, memang benar Hudud tidak boleh dilaksanakan melalui kuasa peti undi.

    imbau kembali sejarah, jihad fisabilillah adalah kaedah paling berkesan untuk menegakkan negara Islam. Tetapi sebelum berjihad, apa yg Rasulullah buat ialah gerak kerja dakwah yg menyeluruh..Rasulullah tidak gunakan platform ceramah semata-mata..selesai ceramah maka selesailah dakwah. Rasulullah tidak gunakan kaedah begitu.

    Antara yg Rasulullah gunakan, spt kata AC, Baginda mengutus surat dan penjelasan kpd pemerintah-pemerintah, mengajak mereka kepada kalimah dua syahadah...jika gagal, baru jihad digerakkan dengan adab-adabnya yg khas.

    Persoalannya, pihak yg kononnya serius mahu laksanakan Hudud dan negara Islam, adakah mereka telah guna metod yg Rasulullah garispandukan?? Adakah PAS pernah menghantar surat kpd Karpal Singh, bercerita ttg keindahan Islam dan mengajaknya supaya memeluk Islam? Rasanya belum lagi..Sam juga, PAS menuduh UMNO tak faham, tetapi adakah PAS mahu bersemuka dgn UMNO dan menerangkannya mengikut kefahaman PAS? Dlm erti kata lain, berdakwah... Rasanya pun belum jugak kan?? Ajak bersatu untuk kepentingan Melayu dan Islam pun berbagai2 alasan diberikan..bersatu dgn pihak yg terang2 menentang Hudud boleh pula...

    kesimpulannya, cermin diri dulu...jgn sebut soal 50 tahun kalau pemimpin sendiri, belum pun mendapat kuasa sudah mengatakan yg ia sanggup tunggu lagi 50 tahun..lebih kurang sama saja.

    ReplyDelete