Saturday, July 20, 2013

Jom Berkenalan Dengan Universiti Sains Malaysia !


Latar Belakang Institusi
Universiti Sains Malaysia yang ditubuhkan pada tahun 1969,  merupakan  universiti kedua tertua di negara ini.  Sebelum Akta Universiti dikuatkuasakan pada 4 Oktober 1971, Universiti Sains Malaysia dikenali sebagai Universiti Pulau Pinang.
Pada peringkat awal,  Universiti Sains Malaysia (USM) bermula dengan pengambilan seramai 57 orang pelajar sains.  Sejak itu, USM  membangun dengan pesatnya dan kini  USM mampu menawarkan pelbagai kursus pada  peringkat ijazah pertama dan ijazah tinggi kepada lebih 20,000 orang pelajar.  Kini, USM terkenal sebagai antara universiti tersohor di dalam mahupun di luar negara.
USM ditubuhkan hasil persetujuan yang  tercapai daripada resolusi yang   diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang pada tahun 1962, yang mencadangkan agar sebuah kolej universiti ditubuhkan di Pulau Pinang.  Sehubungan itu, sebidang tanah dikenal pasti di Sungai Ara sebagai tapak kolej universiti ini. Majlis Peletakan Batu Asas di tapak ini dirasmikan oleh Perdana Menteri Malaysia Y.T.M Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj  pada 7 Ogos 1967.
Walau bagaimanapun, Universiti Pulau Pinang ditubuhkan pada tahun 1969 untuk  menampung keperluan kampus yang lebih luas dan persekitaran yang lebih kondusif bersesuaian dengan keperluan negara pada masa hadapan.
Pada bulan April 1969, Profesor Hamzah Sendut telah dilantik sebagai Naib Canselor.  Dua bulan kemudian, kumpulan pertama seramai  57 orang pelajar telah diterima masuk untuk mengikuti pengajian mereka.  Memandangkan kawasan kampus di Sungai Ara belum  dibangunkan, maka  kumpulan pelajar ini ditempatkan di Maktab Perguruan Persekutuan Bukit Gelugur yang dipinjamkan daripada Kementerian Pelajaran. Pada tahun 1971, kampus yang sepatutnya di Sungai Ara dipindahkan ke tapak yang ada sekarang,  iaitu di  Minden.  Lokasi baru seluas 500 ekar yang terletak di kawasan berbukit  ini begitu  mempesonakan dengan persekitarannya yang menghijau, ditambah pula dengan keindahan laut yang luas terbentang.
Sejak penubuhannyanya,  USM melaksanakan sistem pusat pengajian,  yang agak berbeza dengan sistem falkulti yang lazimnya diamalkan.  Yang uniknya sistem ini adalah bahawa pelajar setiap pusat pengajian dapat memenuhi keperluan pengijazahan khusus di dalam bidang yang dipilih dan pada masa yang sama, pelajar berpeluang mengikuti bidang pengajian dalam disiplin lain yang ditawarkan oleh pusat pengajian yang lain.  USM merupakan universiti pertama yang mengamalkan pendekatan antara bidang ini.  Melalui pendekatan ini,  USM dapat memastikan bahawa graduan yang dihasilkannya terlatih dan serba boleh.
Kampus Induk USM terletak di bahagian pulau Pulau Pinang dengan keluasan 591.72 ekar (240.13 hektar).  USM mempunyai dua kampus cawangan iaitu  Kampus Kesihatan yang terletak di Kubang Kerian (lebih kurang 300 km dari Kampus Induk)  dan Kampus Kejuruteraan yang terletak di Nibong Tebal (lebih kurang 50 km dari Kampus Induk). Pusat Pengajian Sains Perubatan,  Pusat Pengajian Sains Kesihatan dan Pusat Pengajian Sains Pergigian terletak di Kampus Kesihatan, manakala Kampus Kejuruteraan menempatkan  enam Pusat Pengajian Kejuruteraan. Hingga kini, lebih daripada 30,000 pelajar telah mendaftar di USM.

Sumber dipetik dan diubahsuai dari : klik di sini

No comments:

Post a Comment