Sepanjang cuti semester ini, ada beberapa cerita yang melibatkan dua tiga orang sahabat kita sampai ke telinga AC dan cerita-cerita itu ada suka ada dukanya. Kalangan mereka pula ada yang meminta supaya cerita tersebut didedahkan di sini untuk perhatian pihak-pihak terbabit.
AC memahami keluhan dan kesulitan yang mereka alami namun AC bukanlah wadah terbaik untuk membantu menyelesaikan masalah mereka. Apa yang boleh AC lakukan hanyalah memanjangkan setiap permasalahan yang AC terima atas budi bicara masing-masing demi kebaikan warga mahasiswa keseluruhannya. Kita berkongsi platform ini supaya suara mahasiswa sentiasa didengar.
Antara masalah tersebut, yang paling mengejutkan AC ialah insiden mini tesis salah seorang pelajar kita yang tidak disemak meskipun ia telah diserahkan mengikut masa yang telah ditetapkan. Ia disedari oleh pelajar berkenaan selepas menyemak keputusan provinsional peperiksaan akhir semesternya baru-baru ini.
Tidak berpuas hati kerana mendapat keputusan F bagi tesis yang diserahkannya itu, pelajar berkenaan kemudiannya telah memohon semakan semula dengan pihak terbabit. Beliau terpaksa melalui prosuder yang telah ditetapkan termasuk membuat bayaran khas di Jabatan Bendahari sebelum akhirnya diberitahu bahawa tesis beliau tidak disemak atas faktor kecuaian dalaman.
Ternyata perkara sebegini amat meyulitkan kerana ia berlaku pada musim cuti panjang. Mujurlah pelajar berkenaan bertindak pantas menyelesaikan masalah yang dihadapinya itu. AC tidak dapat membayangkan jika pelajar berkenaan ambil mudah dengan nasib yang menimpanya sehingga terpaksa menyambung pengajian semata-mata untuk mengambil semula kertas tersebut.
Insiden lain melibatkan pihak pengurusan desasiswa. Seperti yang kita sedia maklum, pada musim cuti panjang begini, ramai pelajar yang tidak pulang bercuti kerana pelbagai sebab. Ada yang mengalami kesulitan dari segi wang ringgit khususnya bagi pelajar dari Sabah dan Sarawak. Ada juga yang terpaksa tinggal di desasiswa kerana menjalani Latihan Industri dan sebagainya lagi.
Walau bagaimanapun, tidak semua pelajar berkenaan pada hakikatnya mampu menyewa bilik di desasiswa yang telah ditetapkan. Ada kalangan mereka terpaksa ’menumpang’ di bilik rakan-rakan dan bersesak-sesak kerana kesempitan wang untuk menyewa rumah di luar ataupun bilik di desasiswa.
Dalam satu insiden, pihak pengurusan sebuah desasiswa dilaporkan telah membuat serbuan ke bilik-bilik ’sardin’ berkenaan dan berjaya menahan ramai pelajar yang menumpang. Kad matrix mereka telah dirampas dan diminta membayar RM50 jika mahu mengambilnya kembali atau berdepan dengan risiko tidak berijazah.
Menurut salah seorang pelajar berkenaan, beliau tidak mampu membayar denda tersebut pada waktu kejadian. Beliau dan rakan-rakan yang ’dihalau’ kemudiannya datang semula kira-kira dua minggu selepas serbuan tersebut untuk menuntut kembali kad matrix mereka. Malangnya, pihak pengurusan telah menaikkan denda asal lebih sekali ganda dengan alasan mereka lambat membuat bayaran.
Pihak pengurusan mungkin bertindak mengikut lunas peraturan yang telah ditetapkan namun seperti yang dibangkitkan oleh pelajar-pelajar berkenaan, pihak pengurusan sepatutnya lebih bertimbang rasa kerana ia kesalahan kali pertama mereka. Lebih malang, usaha perundingan juga langsung tidak diendahkan.
AC sebagai mahasiswa sangat memahami kesulitan yang dialami oleh mereka. Adalah diharapkan supaya pihak terbabit dapat mengkaji alternatif lain yang lebih mesra pelajar kerana tidak semua pelajar mampu menyediakan bayaran seperti yang diminta tepat pada masanya lebih-lebih dalam situasi masing-masing yang baru saja menamatkan pengajian dan menunggu hari graduasi.
No comments:
Post a Comment