Friday, July 2, 2010

Kebajikan Mahasiswa IPTA Terus Didahulukan

400,000 pelajar nikmati 4G

JOHOR BAHRU 1 Julai - Lebih 400,000 pelajar di 20 institusi pengajian tinggi awam (IPTA) seluruh negara bakal menikmati kemudahan akses rangkaian jalur lebar 4G dengan perkhidmatan data suara dan mudah alih secara percuma mulai akhir tahun ini.

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dipilih sebagai IPTA pertama menerima kemudahan jalur lebar paling canggih itu mulai November ini.

"Buat permulaan, 20,000 pelajar UTM akan mula menikmati kemudahan jalur lebar 4G, ini sesuatu yang amat besar.

"Ia akan mengubah masyarakat IPTA dan menyumbang kepada perubahan tamadun bangsa," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis memeterai perjanjian inisiatif jalur lebar antara UTM dan syarikat komunikasi, YTL Comunications Sdn. Bhd. (YTL Comms) di UTM, Skudai di sini hari ini.

Naib Canselor UTM, Datuk Prof. Zaini Ujang mewakili UTM manakala Pengarah Eksekutif YTL Comms, Yasmin Mahmood mewakili syarikatnya menandatangani memorandum persetujuan (MoA) sambil disaksikan oleh Rais.

Turut menyaksikan majlis itu adalah Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), Tan Sri Khalid Ramli dan Pengerusi Eksekutif YTL Comms, Tan Sri Francis Yeoh.

Pada majlis itu, Rais merasmikan galeri buku Penerbit UTM Press, Stesen Bacaan UTM dan melancarkan buku tulisan Zaini berjudul Budaya Inovasi.

Rais berkata, kemudahan akses 4G di sekitar kampus-kampus universiti itu akan dilaksanakan menerusi Program Rakan Pendidikan YTL Comms.

Menurutnya, program berkenaan akan membantu kerajaan mencapai matlamat sasaran penembusan kemudahan jalur lebar dalam Inisiatif Jalur Lebar Kebangsaan (NBI) daripada 37 peratus kini kepada 50 peratus pada Disember ini di seluruh negara.

Beliau berkata, UTM dan SKMM diminta bekerjasama dalam melaksanakan penyelidikan mengenai perkembangan komunikasi bagi meningkatkan akses Internet dan kandungan kreatif dengan kos rendah tetapi berkualiti.

Justeru, katanya, kementerian akan mencadangkan kerajaan untuk mewujudkan dana galakkan industri kandungan tempatan bagi melahirkan produk bercirikan gagasan 1Malaysia.

Katanya, pada waktu ini kerajaan menyediakan dana industri kreatif berjumlah RM200 juta kepada penggiat seni dan penghasil bahan industri kandungan tempatan.

"Setakat ini RM17 juta diluluskan untuk menggalakkan penghasilan kandungan kreatif seperti bahan animasi untuk sama ada di Internet, televisyen dan sebagainya," katanya.

Sementara itu, Zaini berkata, pelajar UTM diberi penggunaan sehingga 300 MB secara percuma bagi panggilan suara, khidmat pesanan ringkas (SMS), capaian Internet dari dalam kampus menerusi jalur lebar 4G.

Beliau berkata, program bersama YTL itu juga memberi pelajar kemudahan akses berkelajuan dan kapasiti tinggi yang terbaik dan peningkatan infrastruktur komunikasi UTM.

Francis berkata, program jalur lebar 4G untuk 20 universiti itu sebahagian rancangan syarikatnya membabitkan pelaburan RM2.5 bilion.

No comments:

Post a Comment