Sunday, July 25, 2010

Semai Budaya Ilmu, Cintakan Buku.

Program Heboh Buku 2010 yang dikelolakan oleh Penerbit USM semakin menghampiri kemuncaknya. Beberapa siri ceramah dan diskusi seputar isu buku dan masyarakat sudah pun berlangsung dan hingga kini, masih menanti ialah kupasan beberapa buah buku lagi daripada para penulisnya sendiri.

Dalam menjayakan program diskusi begini, sebagai pihak yang bertanggungjawab menerbitkan buku-buku ilmiah di USM, sudah tentulah pihak Penerbit yang diketuai oleh Prof. Dato’ Mohd Salleh Yaapar memikul cabaran yang besar.

Antara cabaran tersebut, paling tidak pun, adalah proses menentukan buku manakah yang layak dibedah dalam suatu acara ilmu. Hal ini demikian kerana, USM sebenarnya mempunyai sejumlah besar karya bermutu tinggi yang dihasilkan oleh akademia-akademia kita sendiri.

Buku-buku ini sewajarnya diberikan ruang yang sama adil, dikupas dalam suasana ilmiah dan kondusif dan berupaya memupuk anjakan minda khalayak sehingga memotivasikan mereka untuk meneruskan pembacaan lanjut. Ia umpama ‘prakata’ lisan kepada sebuah karya atau tulisan besar dan tidak harus dipandang sebagai sekadar kerja promosi semata-mata.

Salah seorang akademia yang diundang membicarakan tajuk “Buku dan Masyarakat Berilmu” iaitu Dr. Mohd Asri Zainul Abidin, Pensyarah Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan yang juga mantan mufti Perlis, dalam satu komentarnya, mengusulkan betapa pembinaan masyarakat yang berilmu tidak boleh tidak harus menurutsertakan budaya pembacaan kepada bahan-bahan ilmiah yang bermutu tinggi.

Dr. Danial Zainal Abidin pula sewaktu menyampaikan ceramah beliau yang bertajuk “Buku Popular : Agama dan Sains”, mengusik hati khalayak supaya melihat kembali sejarah kebangkitan dan kejatuhan tamadun-tamadun manusia terdahulu yang sebahagian besarnya berkait rapat dengan budaya berilmu pengetahuan.

Ilmu-ilmu tersebut pula menurut beliau seharusnya menghubungjalinkan antara satu sama lain iaitu hal-hal kemanusiaan dengan hal-hal yang bersifat saintifik dan emperikal supaya masyarakat yang terbentuk kelak ialah masyarakat yang seimbang jasmani dan rohaninya.

Namun seperti yang kita sedia maklum, bencana besar yang melanda tamadun Eropah suatu ketika dahulu ialah apabila ilmuan-ilmuan yang diagung-agungkan mereka telah mengkhianati hakikat keilmuan dengan memisahkan antara rohani dan jasmani menyebabkan lahirnya tradisi pemisahan batas-batas ilmu duniawi dan ukhrawi yakni antara Tuhan dan kejadian.

Hasil diskusi kedua-dua tokoh ini, mereka senada bahawa sumber ilmu yang utama dan teragung ialah Al-Quran. Ia adalah buku atau kitab yang tiada bersalahan walau satu ayat pun dengan mana-mana kejadian di bumi. Sekian banyak kajian saintifik yang cuba mencabar kesahihan ‘berita-berita’ yang disampaikan oleh Al-Quran akhirnya tetap merumuskan bahawa ia benar dan tepat.

Namun begitu, seperti kata Dr. Zainal Abidin, Al-Quran perlu diterokai supaya ilmu-ilmu yang terkandung di dalamnya dapat dikeluarkan untuk manfaat seluruh umat manusia di samping untuk menyanggah teori-teori sekular yang salah dari dunia barat.

Pembedahan dan pentafsiran ke atas Al-Quran inilah yang kemudiannya akan melahirkan ribuan dan jutaan penulisan oleh mereka yang menggalinya. Al-Quran tidak boleh dilihat sebagai satu naskah ilmu yang tertutup kerana ilmu yang terkandung di dalamnya sangat luas melebihi alam semesta. Pandangan bahawa pentafsiran ke atas Al-Quran sudah selesai apabila dikerjakan oleh tokoh-tokoh ulama terdahulu juga perlu diperbetulkan.

Tingginya ilmu golongan cendekiawan Islam terdahulu seperti Ibn Sina, Al-Ghazali, Sheikh Qurtubi dan sebagainya lagi adalah kerana mereka menggali isi Al-Quran secara menyeluruh. Mereka faham isi Al-Quran dan mereka mengajak kepada amal makruf serta mencegah kemungkaran berdasarkan perintah-perintah yang terkandung di dalam Al-Quran.

Pada masa yang sama, Al-Quran yang mengandungi penjelasan-penjelasan lengkap berhubung kejadian manusia dan alam semesta telah memberikan ilmu yang cukup bernilai kepada ulama-ulama ini sehingga mereka mampu menguasai cabang sains dan teknologi sekali gus tanpa sedikit pun mengabaikan hal-hal kerohanian dan kemanusiaan.

Inilah hebatnya Al-Quran. Ia memberikan ilmu kepada mereka yang berusaha memahami dan menghayatinya. Sehinggakan, dicatatkan oleh sejarah bahawa tokoh-tokoh sarjana Barat termasuk Galileo Galilei sendiri belajar dari ilmuan Islam untuk memahami astronomi dan mengetahui bahawa bumi itu bukan satu hamparan tetapi sfera yang berkutub.

Namun, jenayah pemisahan dinding ilmu telah menjadi bencana besar kepada Eropah seperti yang kita bincangkan sebelum ini. Lebih dahsyat, ia dilakukan oleh pihak gereja Katholik bagi menutup kebenaran fakta yang menyanggahi penyelewengan yang telah dilakukan oleh mereka dalam kitab-kitab terdahulu.

Soalnya sekarang, apakah pendirian kita dalam hal ini? Adakah kita bersedia pada prinsip dan praktiknya untuk menjadikan tradisi berilmu dengan buku-buku ilmiah sebagai budaya sehari-hari?

Dr. Zainal sendiri mengakui beliau telah menetapkan disiplin supaya menulis sekurang-kurangnya satu muka surat setiap hari, jadi adakah kita bersedia menyediakan satu ruang masa untuk membaca sekurang-kurangnya satu muka surat dari mana-mana buku dalam sehari?

Semuanya terpulang pada keinginan masing-masing. Hanya anda yang menentukan sejauh mana tahap ilmu yang anda miliki.

Akhir kata, AC ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada pengelola program Heboh Buku 2010 iaitu Penerbit USM khususnya Prof. Dato Mohd Salleh Yaapar yang tidak jemu-jemu menyemai budaya ilmu di USM.

Ayuh rakan-rakan kita bajakan aspirasi untuk menjayakan transformasi minda mahasiswa Universiti APEX.



Disediakan oleh Sidang Redaksi, Aspirasi Corner, USM.

No comments:

Post a Comment