Sunday, July 25, 2010

Relevankah Lagi Penggantungan Pinjaman PTPTN Ke Atas Pelajar Bermasalah?

Dalam kita menempuh alam kampus sebagai mahasiswa, kita sentiasa berdepan pelbagai risiko. Sama ada risiko itu berpunca daripada tindakan kita sendiri, ataupun ia berlaku di luar kawalan kita, namun impaknya tetap sama. Hanya kita yang mengalami dan merasainya.

Ada waktunya kita mungkin terjatuh kerana tersalah langkah. Ada waktunya, kita terus tersungkur. Pada masa itu, kita sekali lagi terdesak sama ada untuk bangun atau terus mengalah. Jika kita berusaha untuk bangun dan kembali melangkah, kita mungkin akan berhadapan dengan lebih banyak cabaran.

Soalnya, adakah kita bersedia? Jika ketika kita jatuh, kita dihukum pula, jadi bagaimana kita hendak bangun?

Mungkin inilah dilema yang dihadapi oleh segelintir sahabat kita yang mengalami situasi sudah jatuh ditimpa tangga pula seperti yang digambarkan sebentar tadi. AC ingin mengajak sahabat-sahabat semua untuk menginsafi diri masing-masing dengan mengambil iktibar yang sewajarnya dan pada masa yang sama berkongsi masalah ini dengan hati yang terbuka.

Ketika kita ‘berbelanja mewah’ menggunakan wang pinjaman PTPTN dan biasiswa masing-masing, sebenarnya, ada antara kita yang mengikat perut dan berperang dengan semangat untuk meneruskan pengajian masing-masing kerana pinjaman mereka disekat atau ditahan kerana keputusan peperiksaan yang tidak memuaskan.

Kita menerima ini sebagai satu bentuk hukuman. Tetapi masihkah ia relevan dalam situasi hari ini? Kita semua tentunya bersetuju bahawa kehidupan sebagai mahasiswa tidak dapat dipisahkan daripada menggunakan wang yang banyak sama ada untuk perbelanjaan diri sendiri ataupun untuk urusan pengajian sehari-hari.

AC bukanlah hendak membela mereka yang membuat salah, tetapi sebagai mahasiswa, terdetik juga barangkali di hati kita ini betapa hukuman sebegitu kelihatan lebih kepada menghukum, bukannya mengatasi puncanya. AC mengambil pendirian bahawa masalah sebegini perlu diatasi di peringkat puncanya, dan bukannya hanya terus mencatas pucuk sebagai satu bentuk hukuman.

Bagaimana golongan pelajar malang ini hendak meneruskan pengajian mereka jika tidak berduit, apatah lagi untuk membaiki keputusan mereka? Motivasi mereka tentunya merudum lebih teruk daripada sentimen penyesalan sendiri. Hendak pinjam? Siapa yang hendak bagi kalau satu semester sentiasa perlu meminjam?

Justeru, AC ingin memohon jasa baik pihak yang berkenaan khususnya MPP USM supaya dapat mempertimbangkan duduk penting perkara ini demi menjaga kebajikan mahasiswa sejagat. MPP sudah pasti mempunyai saluran yang lebih baik untuk membawa perkara ini ke peringkat yang lebih tinggi. Jadi andalah yang paling layak sebelum isu ini dijadikan modal kempen oleh pihak-pihak yang berkepentingan tertentu.

Bersama Aspirasi Menggerakkan Transformasi.

Mahasiswa Didahulukan, Kebajikan Diutamakan.

1 comment:

  1. PTPTN masuk lambat, sekali masuk check akaun takde lagi..membe2 makan sedap. Aku hari2 makan sepeket megi takut kena gastrik pulak. Ropenye kena gantung. 1.96 tak cukup 0.04 GPA. Tulah, org bodoh + malas mcm aku....

    ReplyDelete