Wednesday, February 3, 2010

Masa Untuk Berkerja

Barisan MPP 2009/10 selepas keputusan penuh Pemilihan MPP diumumkan baru-baru ini.

Sesi pemilihan MPP baru sudah pun selesai. Barisan MPP juga sudah dibentuk dengan Saudara Ahmad Wafi dilantik sebulat suara dari kalangan ahli MPP yang menang sebagai Yang DiPertua yang baru. Kini masanya untuk mereka buktikan kemampuan masing-masing sebagai perwakilan pelajar di peringkat tertinggi universiti. Sekalung tahniah juga diucapkan kepada mereka semua.

Sama ada kita sedar ataupun tidak, pemilihan kali ini telah membuka lembaran baru dalam politik kampus. Antara yang paling heboh ketika ini ialah, MPP kali ini tidak akan mampu lagi berfungsi dengan seimbang kerana ketiadaan ‘suara kiri’ yang boleh berperanan sebagai check and ballence kepada kepimpinan yang dibentuk bagi sidang 2009/10.

Apa asasnya? Mudah, kerana tiada wakil dari Pro-Mahasiswa yang menang dalam pemilihan lalu. Dua calon bebas yang menang pula telah mengishtiharkan tidak menyokong mana-mana pihak. Kalau pun mereka berorientasikan haluan kiri, mampukah mereka berperanan sebagai pembangkang dengan komposisi yang begitu kecil?

Jelas sekali, tanggapan begini agak menyimpang dari konsep MPP yang sebenar. Setelah dibentuk, MPP sebenarnya perlu bergerak sebagai satu organisasi struktural yang mempunyai aliran autoriti tertentu secara bersama dan seimbang. Semua ahli MPP mempunyai bidang tugas masing-masing. Justeru, setiap bahagian atau biro adalah saling melengkapi, dan jika wujud pihak yang asyik menentang dan sebagainya, maka pincanglah organisasi tersebut.

Setelah dibentuk MPP juga, soal ideologi atau ‘orientasi politik’ sewajarnya diketepikan. Sebaliknya, semua MPP harus menumpukan perhatian kepada peranan masing-masing di samping cuba memastikan manifesto yang digunakan semasa kempen dibincangkan bersama untuk tindakan lanjut. Tidak harus berlaku ahli MPP bergerak sendirian setelah menang.

Apa yang berlaku dalam MPP sebelum-sebelum ini haruslah diambil sebagai iktibar. Jangan kerana berbeza pendapat maka ahli MPP tertentu tidak lagi datang mesyuarat ataupun menyertai program yang dianjurkan oleh MPP sendiri. Hal ini seolah-olah mengkhianati perjuangan sendiri dan juga amanah pengundi yang telah menggantungkan harapan di leher calon pilihan mereka.

Apa-apa pun, sekarang adalah masa kepada saf kepimpinan Saudara Ahmad Wafi untuk berkerja. Selamat maju jaya.



1 comment:

  1. tahniah wafi..masa untuk hang buat keja pulak.jgn dok malukan anak penang

    ReplyDelete