Tuesday, January 5, 2010

Mutu Jalur Lebar Rendah, PPKT Janji Atasi Segera

Assalamualaikum dan salam sejahtera.


1. Ketika ini, rata-rata pelajar USM sedang berhadapan dengan masalah untuk mengakses laman-laman sesawang di internet kerana mutu perkhidmatan jalur lebar USMHotspot yang rendah. Perkara ini dikesani berlaku sebaik semester baru bermula kira-kira seminggu yang lepas.


2. Oleh itu MPP USM melalui biro yang terbabit telah berusaha mendapatkan penjelasan daripada pihak yang bertanggungjawab iaitu PPKT berhubung kesulitan ini. Hasil kunjungan yang dilakukan, satu penjelasan telah diberikan iaitu perkhidmatan jalur lebar USMHotspot sedang dinaiktaraf ketika ini dan dijangka akan selesai dalam masa terdekat.


3. Selain itu, satu mesyuarat di peringkat pengurusan telah diadakan pada petang tadi bagi mencari penyelesaian terbaik berhubung kesulitan ini. Kenyataan rasmi juga akan dikeluarkan dalam masa terdekat sekali gus mampu merungkai rungutan daripada para pelajar.


4. Pro-Aspirasi USM mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada MPP terbabit di atas peranan yang dimainkan. Pihak kami percaya internet merupakan antara keperluan utama kita semua dan sentiasa mengharapkan mutu perkhidmatan yang terbaik setiap masa.


5. Pro-Aspirasi juga tidak akan jemu membawa isu ini ke peringkat pengurusan melalui saluran yang betul dan kaedah yang toleran dengan keadaan kampus. Sejak sekian lama Pro-Aspirasi sentiasa meletakkan isu jalur lebar sebagai prioritas dalam perjuangan membela hak dan kebajikan pelajar USM. Hasilnya hari ini kita mampu menikmati akses internet yang memuaskan walaupun sering kali juga terganggu atas sebab-sebab teknikal.


6. Justeru kami menyeru rakan-rakan mahasiswa sekalian agar dapat bersabar dan berhemah dalam menangani isu ini. Kita seharusnya bersyukur kerana kedudukan kita di USM yang jauh lebih baik berbanding di IPTA lain dan yang lebih penting, kebajikan kita sentiasa diberikan perhatian oleh pihak pengurusan. Pesan kami kepada anda, bersyukurlah dengan nikmat ini dan jadilah warga yang bijak dan matang setiap masa.


Toleransi, Rasional, Realistik.

No comments:

Post a Comment