KUALA LUMPUR 25 Jan. - Para mahasiswa di semua institusi pengajian tinggi awam (IPTA) digesa menunaikan tanggungjawab dengan keluar mengundi pada pilihan raya kampus masing-masing.
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang dihubungi Utusan Malaysiahari ini berkata, inilah masanya untuk warga IPTA berperanan memilih pemimpin mahasiswa sebelum melakukannya pada pilihan raya umum.
Beliau diminta mengulas mengenai pemilihan barisan pemimpin bagi Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) sesi 2009/2010 yang diadakan sejak minggu lalu dan bakal berakhir pada 28 Januari ini.
Mohamed Khaled berkata, pilihan raya kampus dapat memberi pendedahan kepada mahasiswa sebagai calon pemimpin masa depan serta mengenal realiti pilihan raya yang sebenar.
Setakat ini empat IPTA telah melaksanakan pemilihan iaitu Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Universiti Malaysia Perlis (Unimap) dan Universiti Utara Malaysia (UUM) pada 17 Januari lalu sementara Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pada 21 Januari.
Pemilihan MPP bagi Universiti Putra Malaysia (UPM) pula akan dilakukan pada 26 Januari ini.
Sementara itu, mahasiswa di tujuh universiti iaitu Universiti Malaya (UM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Malaysia Pahang, Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Tun Hussein Onn dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) akan menunaikan tanggungjawab mereka pada 28 Januari ini.
Dipetik daripada Utusan Malaysia Online, 26hb Januari 2010
No comments:
Post a Comment